LABUAN: UMNO Labuan menggesa para pemimpin politik di Sabah agar menghentikan perdebatan berhubung isu pengembalian pulau bebas cukai itu kepada kerajaan negeri berkenaan.
Ketua UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, penduduk pulau bebas cukai itu kini menikmati kehidupan selesa dan ia dapat dilihat dengan pertumbuhan ekonomi yang ketara sejak pentadbirannya dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan pada 1984.
Beliau berkata, sektor minyak dan gas serta kewangan Labuan yang berkembang pesat ditambah pula dengan penubuhan pemacu ekonomi utama seperti Petronas Methanol serta institusi pendidikan tinggi telah banyak menyumbang kepada kemakmuran pulau itu sejak empat dekad lalu.
“Status Labuan sebagai antara Wilayah Persekutuan Malaysia tidak dapat dinafikan telah membantu melonjakkan pembangunannya dengan 86 agensi kerajaan mempunyai pejabat di pulau itu.
“Adalah penting untuk tidak mempolitikkan status Labuan kerana sektor ekonominya lebih berkembang maju berbanding banyak daerah di Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Rafi juga berkata, isu seperti gangguan bekalan air dan elektrik serta kelembapan ekonomi tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengembalikan Labuan kepada Sabah kerana negeri itu turut berdepan masalah yang sama.
“Labuan berdepan kesukaran ekonomi mulai 2018 disebabkan beberapa faktor dan antaranya ialah kejatuhan harga minyak mentah yang menyebabkan syarikat multinasional mengecilkan saiz operasi serta mengurangkan jumlah pekerja.
“Pandemik Covid-19 memburukkan lagi keadaan ditambah pula dengan dasar baharu kastam berkaitan rokok yang memberi kesan kepada ekonomi pulau ini,” katanya.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, Labuan memainkan peranan penting dalam rangka kerja Wilayah Persekutuan dan cadangan untuk mengembalikannya kepada mana-mana entiti lain adalah tidak relevan.
Isu itu dibangkitkan selepas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau mengemukakan soalan pada sidang Parlimen baru-baru ini mengenai hasrat Kerajaan Persekutuan dalam isu
Ini didorong oleh kebimbangan mengenai pengurusan keperluan penting Labuan seperti bekalan air dan elektrik serta entiti ekonomi utamanya Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) kini berada di bawah tadbir urus Kerajaan Negeri Sabah.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee turut menyatakan sokongan agar Labuan dikembalikan kepada Sabah. – BERNAMA