UMNO Gantung Keahlian Papagomo Enam Tahun

papagpmo.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Umno menggantung keahlian exco pemudanya Wan Muhammad Azri Wan Deris selama enam tahun selepas didapati melanggar perlembagaan parti.

Azri digantung keahliannya bermula 27 Ogos lalu.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 1 September) dan ditandatangani Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bersidang pada 27 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa saudara digantung hak-hak keahlian dalam parti selama tempoh enam tahun berkuat kuasa dari 27 Ogos 2021 atau dua penggal pemilihan Umno,” kata surat itu memetik laporan Malaysiakini.

Ahmad berkata, Majlis Tertinggi Umno mendapati Azri melanggar banyak fasal dalam perlembagaan parti.

Ini termasuk fasal mengenai tata etika ahli agar mematuhi arahan parti, melaksanakan dasar parti, mematuhi dan menghormati keputusan parti dan memelihara nama baik parti.

Azri dalam maklum balas segera berkata dia yakin dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam mencadangkan Umno menjalin hubungan kerja dengan Bersatu.

“Saya takkan merayu lah sebab tidak ada apa salah yang saya buat.

“Kalau nak kata saya ajak Umno untuk menyokong Bersatu tidak menghormati keputusan PAU saya berasa kerajaan hari ini pun hasil kerjasama antara Umno dan Bersatu.

“Jadi saya pun tak tahu dekat mana yang salah,” katanya.

Bagaimanapun, Azri berterima kasih kepada Umno dan berharap parti itu akan diselamatkan oleh pihak yang mahu menjadikan Umno sebagai “tebusan.”

“Apapun tak apalah. Sebenarnya membuka mata ahli Umno, rakyat khususnya orang muda.

“Umno ini perlu diselamatkan. Umno ini tak salah tapi individu yang berada dalam Umno ini yang jadikan Umno sebagai tebusan. Ini yang perlu diselamatkan.”

“Saya yakin kebangkitan Umno terutama orang muda di luar parti ini yang mendesak agar Umno ini diselamatkan daripada terus dijadikan tebusan.

“Apapun terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi, kita tengoklah what’s next (apa selepas ini),” katanya.

Azri sebelum ini menafikan di mahkamah bahawa dia adalah penulis blog dikenali sebagai ‘Papagomo’ yang didakwa memfitnah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan anaknya, Clint Lim Way Chau.

Susulan itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu memberinya lebih masa untuk membuktikan perkara itu. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top