UMNO Desak Sidang Parlimen, DUN Diadakan Dalam Tempoh Darurat

parlimen.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: UMNO mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang semasa tempoh darurat, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata perkara itu, yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam, juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Ahmad berkata antara rasional utama yang dipertimbang berhubung perkara itu ialah kerajaan tidak boleh dilihat cuba ‘memandulkan’ amalan demokrasi berparlimen.

“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah medan semak dan imbang dalam kalangan wakil-wakil rakyat agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat yang hari ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup dan harga barang yang meningkat,” katanya selepas mesyuarat itu.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pada masa sama, Ahmad berkata prosedur operasi standard (SOP) khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan seperti yang diamalkan di negara-negara seluruh dunia.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top