UMNO, BN Sabah Tarik Balik Sokongan Kepada Hajiji

Umno-Sabah-Tarik-sokongan-Hajiji.jpg

KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, sekali gus menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan ADUN serta pimpinan Umno Sabah di ibu pejabat parti itu, di sini, malam tadi.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

Beliau berkata keputusan sebulat suara pemimpin UMNO Sabah itu selepas mengambil kira tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri.

“Penubuhan kerajaan negeri Sabah sekarang adalah hasil persefahaman termeterai antara parti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas keputusan PRN Sabah ke-16.

“Persefahaman politik tersebut antara lain menyebut ADUN BN, Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai ketua menteri Sabah selagi mana pelantikan ahli Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN, Umno seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

“Persefahaman politik tersebut telah dicabuli oleh Hajiji apabila beliau bertindak memecat Salleh daripada jawatannya sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengan pengerusi BN Sabah dan bertindak mengumumkan bahawa satu rombakan Jemaah Menteri akan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan kami,” katanya.

Bung berkata, Hajiji juga tidak mempunyai “locus standi” untuk terus kekal sebagai ketua menteri susulan tindakannya keluar daripada Bersatu, baru-baru ini.

“Selepas Hajiji keluar daripada Bersatu, kami telah berbincang dengan beberapa peguam dan dapati Hajiji tiada ‘locus standi’ untuk menjadi ketua menteri.

“Mengikut Perlembagaan Negeri 6 (3), beliau tiada kelayakan lagi untuk menjadi ketua menteri, Hajiji tidak berparti, dia bernaung bawah GRS dan adalah gabungan.

“Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini, Hajiji telah hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan ketua menteri,” katanya.

Mengenai sama ada BN dan UMNO akan membentuk kerjasama dengan parti lain termasuk Parti Warisan (WARISAN) untuk membentuk kerajaan baharu, Bung Moktar berkata perkara itu belum dipastikan dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan mereka ikhlas,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top