UMNO Bersikap Inklusif Bukan Eksklusif Menerima Keahlian Parti – Awang

Umno-Kuala-Penyu.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KUALA PENYU: UMNO merupakan sebuah parti yang inklusif, bukan eksklusif yang sentiasa mengamalkan membuka pintu kepada semua bekas pemimpin dan ahli serta individu yang ingin menyertai perjuangan parti itu.

Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Awang Lakat berkata dari awal lagi UMNO Sabah mengambil pendirian untuk menerima sesiapa sahaja individu yang berminat untuk menyertai perjuangan parti tersebut.

“Kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai perjuangan parti kita, bagaimana pun ianya perlu melalui proses seperti biasa mengisi borang keahlian parti dan dikemukakan kepada cawangan, bahagian dan ibu pejabat parti untuk kelulusan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sekumpulan 35 orang penduduk di kampung Tenambak Kuala Penyu yang diketuai oleh Baki Saban menyerahkan borang kemasukan ahli UMNO di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort Datuk Hajah Siri Aminah Haji Aching, Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort Abdul Rahman Taib, Naib Ketua UMNO bahagian Awang Damit Jion dan Ketua Daerah Mengundi Tenambak Kimloo Jungin.

Menurut Awang yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort walaupun UMNO Sabah sudah pulih namun penyatuan semua pemimpin dan ahli akan menjadi jaminan parti akan bertambah kuat dan

“Kita tidak menolak kemungkinan akan menerima kemasukan lebih ramai lagi pemimpin dari pembangkang atau ahli parti lain menyertai UMNO,” katanya.

Awang berkata, walaupun sebelum ini ramai yang menganggap UMNO sudah tidak relevan namun parti ini tetap menjadi rebutan ramai.

“Bagi saya ia memberikan indikasi bahawa UMNO mempunyai nilai harga yang mahal walaupun itu cuma persepsi. Apa pun UMNO tidak boleh sombong untuk mendengar dan membetulkan diri dengan teguran daripada akar umbi.

“Dalam politik, perlu ada strategi dan rancangan sekiranya hendak menang, termasuk membuka pintu kepada bekas ahli UMNO yang ingin kembali bersama parti,” katanya.

Sementara itu, Baki yang mengetuai kumpulan tersebut berkata keputusan beliau bersama-sama rakan-rakan yang lain menyertai UMNO dibuat kerana yakin kepada kesungguhan UMNO untuk membela rakyat.

“Sejak beberapa tahun lepas, kita melihat UMNO konsisten membantu rakyat tidak kira parti ini di pembangkang atau pun kerajaan usaha membantu bukan sahaja ahli tapi rakyat keseluruhannya dilaksanakan seperti biasa,” jelas Baki.

Sebaik majlis tersebut selesai Awang bersama rombongan meneruskan program ziarah menemui beberapa penduduk yang ditimpa musibah dan sakit di Rumah Murah Kampung Kenangka di kampung Tenembak dan seterusnya menyampaikan bantuan bakul makanan di Pusat Daerah Mengundi Palu-Palu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top