UMNO Bermesyuarat Malam Ini Bincang Calon TPM

timbalan-presiden.jpg
Kongsi Bersama

Umno dijangka akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan calon Timbalan Perdana Menteri dan syarat-syarat yang akan dikemukakan parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber parti itu, tiga nama menjadi sebutan untuk dicalonkan bagi jawatan itu iaitu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Ya, malam ini dijangka mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bersidang berhubung perkara itu

“Pucuk pimpinan Umno akan bermesyuarat bagi menentukan nama calon yang akan dihantar, dan juga syarat-syarat yang akan dikemukakan kepada Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun sumber tersebut memberitahu, mesyuarat khas berkenaan akan ditangguhkan sekiranya kuorum tidak mencukupi.

Spekulasi mengenai calon timbalan perdana menteri dari Umno bertiup kencang semalam apabila Putrajaya dikatakan sedang menunggu nama yang akan diserahkan parti itu.

Untuk rekod, Mohamad bukan anggota parlimen dan perlu mengangkat sumpah sebagai senator terlebih dahulu sebelum boleh dilantik sebagai TPM.

Sebuah portal turut mengaitkan nama Setiausaha Agung BN Annuar Musa  sebagai calon bagi mengisi jawatan itu.

Jawatan timbalan perdana menteri antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat bagi parti itu untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini melaporkan bahawa Muhyiddin bersedia melantik wakil Umno bagi jawatan berkenaan selain presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Sementara itu, sumber memaklumkan nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan.

“Nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan kerana ia mungkin tidak disenangi oleh ramai pemimpin Umno.

“Nama yang akan dipertimbangkan ialah Mohamad dan Ismail, untuk mewakili Umno bagi jawatan berkenaan,” katanya lagi.

Hishammuddin dalam catatan di Facebook hari ini menafikan terdapat usaha daripada pihaknya untuk dilantik ke jawatan nombor dua dalam kerajaan.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut. Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili Umno sebagai menteri dalam kerajaan hari ini.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus kerajaan dan Umno sekarang ialah sidang parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19, bukan soal jawatan,” katanya.

Sementara itu beberapa orang ahli MT Umno ketika dihubungi mengesahkan malam ini berlangsung mesyuarat khas MT. – malaysiakini

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top