UMNO Bahagian Sipitang Perlu Adakan Pemilihan Semula

Umno.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: UMNO bahagian Sipitang perlu mengadakan pemilihan semula susulan ketidakteraturan perjalanan mesyuarat parti di bahagian itu yang berlangsung pada 18 Mac lalu.

Perkara itu disahkan beberapa pemimpin UMNO bahagian Sipitang susulan surat ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Surat itu antara lain mengatakan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO 2023 membuat keputusan bahawa mesyuarat dan pemilihan UMNO bahagian Sipitang sebagai tidak sah.

Berikutan keputusan itu, semua keputusan pemilihan membabitkan bahagian Sipitang termasuk kemenangan Abdul Rahman Mohd Noh sebagai Ketua UMNO Bahagian yang baharu terbatal.

Penentuan tarikh, masa dan tempat untuk pemilihan semula UMNO bahagian Sipitang akan diputuskan Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri dan Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Difahamkan, ketika proses pemilihan UMNO bahagian Sipitang pada 18 Mac lalu, pengerusi dan jawatankuasa pemilihan didakwa tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara telus.

Ia dikaitkan dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan iaitu 820, melebihi jumlah kehadiran perwakilan yang dilaporkan hanya 705 orang.

Bahagian Sipitang menyaksikan pertandingan empat penjuru untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian apabila penyandang, Datuk Kamarlin Ombi dicabar bekas Setiausaha UMNO Bahagian, Abdul Rahman Mohd Noh; bekas Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Sani Miasin dan Awangku Junaidi Awangku Tinggal.

Berdasarkan keputusan pemilihan 18 Mac lalu, persaingan sengit berlaku antara Kamarlin dan Abdul Rahman apabila masing-masing mendapat 254 dan 255 undi iaitu perbezaan hanya satu undi yang memihak kepada Abdul Rahman.

Walaupun berlaku bantahan ketika proses pengiraan undi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Sipitang, Datuk Ahmad Bujang, terus mengumumkan keputusan dengan alasan bimbang berlaku perkara tidak diingini walaupun sudah dikenal pasti terdapat lebihan kertas undi. – SINAR

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top