UMNO bahagian, cawangan diminta lakukan perencanaan rapi dekati rakyat – Bung

bung-meeting.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini diminta agar melakukan perencanaan rapi bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi muda 18 tahun di kawasan masing-masing yang jumlahnya semakin bertambah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, sebaik saja pendafaran secara automatik (PSSA) dikuat kuasakan bagi pengundi muda 18 pada Disember 2021, warga negara yang layak serta mempunyai maklumat lengkap berdasarkan rekod di Jabatan Pendafataran Negara (JPN) akan didaftarkan tanpa perlu memohon kepada SPR.

“ Golongan pengundi muda ini perlu kita ambil perhatian kerana golongan ini adalah segmen pengundi yang penting dan kritikal dalam menentukan kemenangan calon dan parti bertanding,” katanya semasa mempengerusi mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini kelmarin.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengikut pecahan demografi pengundi baharu menunjukkan hanya kira-kira 16% dari 6.9 juta pengundi baharu mewakili kumpulan umur 18-20 tahun, kumpulan utama yang menjadi sasaran beberapa parti pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam PRN di enam buah negeri baru-baru ini juga bergantung kepada pengundi muda,” katanya

Bung berkata pengundi muda lebih terpengaruh dengan kempen melalui media sosial dan trend dalam politik walaupun tanpa literasi politik yang tepat, mereka mudah terpengaruh dengan kempen yang bersifat populis, justeru terdapat keperluan daripada UMNO untuk memperhebatkan kempen bagi menggalakkan golongan muda ini terbabit dalam membuang undi semasa PRN atau PRU

“Selain itu kita juga perlu memberikan penjelasan kepada mereka agar keluar beramai-ramai semasa PRU atau PRN ,ini kerana golongan muda ini biasanya memegang prinsip ideal dan tidak terikat dengan parti-parti politik, bukan seperti pengundi yang lebih veteran dari segi umurnya,” katanya.

Selain itu, Bung yang juga Pengerusi BN Sabah berkata pendekatan yang sesuai mengikut citra rasa golongan muda perlu dilaksanakan secara berkala bagi mempastikan golongan ini mendapat info yang jelas dan tepat berkenaan dasar dan perjuangan parti serta program-program kerajaan yang boleh mereka manafaatkan untuk meningkatkan taraf siso ekonomi mereka.

“Apabila parti membuat pendekatan yang sesuai selari dengan citra rasa golongan muda ianya memberikan dorongan untuk mereka bersama-sama dalam perjuangan UMNO dan perencaaan rapi ini perlu diaktifkan oleh sayap-sayap parti terutama Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO disokong oleh bahagian dan cawangan,” jelas Bung.

Dalam perkembangan lain Bung juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera BN dari Sabah yang bertungkus lumus berkempan semasa PRN baru-baru ini khususnya di Selangor.

“Kemerosotan sokongan kepada BN semasa PRN lalu perlu kita ambil iktibar untuk memperkasakan parti, kemerosotan sokongan semasa PRN tidak boleh melemahkan semangat kita untuk terus memperkasakan parti, kita tidak perlu terus berjuang tanpa terkesan dengan sentimen pihak lawan bahawa UMNO/BN itu semakin lemah,” katanya.

Menurut beliau kemerosotan sokongan kepada UMNO/BN semua pihak perlu mengambil dan memikul tanggungjawab bersama, tanpa menyalahkan atau mendesak Presiden UMNO Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi meletakan jawatan.

“UMNO Sabah akan terus mendokong institusi kepimpinan khususnya kepada Presiden parti kerana kita melihat kemersotoan sokongan ini disebabkan banyak faktor kerana itu kita perlu melakukan “Post-mortem ” bagi memperbaiki segala kelemahan dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dari kepimpinan tertinggi parti kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan kerana selepas ini kita akan berhadapan pula dengan PRN ke 17 di Sabah dan PRU ke 16,” tegas Bung. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top