UMNO Akan Jumpa PM Segerakan PRU-15 – Ahmad Maslan

aHMADMASLAN.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Momentum hebat Barisan Nasional (BN) selepas PRN Melaka membuatkan UMNO tidak sabar untuk menuntut Perdana Menteri mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Malah katanya, UMNO berhasrat berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyatakan pandangan supaya PRU-15, disegerakan.

Ahmad berkata, UMNO berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum BN yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada PRN Melaka.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri.

“Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.

“Berhubung PRU-15, ia akan dibincangkan selanjutnya dengan pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai hasrat UMNO,” katanya di Pontian memetik BH, pada Isnin.

Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan menyuarakan pandangan itu kepada Ismail Sabri pada Sabtu lalu, selepas BN memenangi PRN Melaka.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kemenangan BN pada PRN Melaka disebabkan kombinasi pelbagai faktor.

Beliau berkata, antaranya jentera parti, calon muka baharu, selain faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantu kempen UMNO dan BN.

“Pada mulanya kita ramalkan dapat menang 18 atau 20 kerusi, tetapi lebih manis capai kemenangan dua pertiga. Ini menunjukkan angin perubahan rakyat dan pengundi yang mahukan kerajaan BN di Melaka,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top