TAWAU: Masyarakat khususnya umat Islam diminta terus berusaha menjaga hubungan persaudaraan supaya perpaduan dapat dikekalkan di daerah ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, umat Islam perlu sentiasa mempertingkatkan keimanan masing-masing agar dapat memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.
Katanya, Islam sudah menyediakan modul cara hidup yang lengkap untuk diikuti seperti yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Kita perlu menjadikan cara hidup atau sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam hidup supaya boleh menjadi masyarakat yang hebat dan berdaya saing.
“Justeru, apa pun kerjaya dan bidang kita, ia perlu dilandaskan dengan keimanan kepada Allah SWT dan dan mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perbandaran Tawau, di sini semalam.
Nizam menzahirkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur sambutan ini kerana berjaya menarik ramai penyertaan warga Tawau terutamanya acara perarakan.
Menurutnya, sambutan tahun ini memang sangat memberangsangkan dan difahamkan lebih 5,000 masyarakat Tawau pelbagai peringkat umur hadir memeriahkannya.
“Sambutan ini menunjukkan kempen yang dibuat oleh pihak penganjur berjaya mendapat maklum balas daripada warga di daerah ini.
“Saya juga melihat program-program keagamaan yang diadakan di daerah ini semakin mendapat sambutan daripada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menasihatkan semua masyarakat Islam di daerah ini supaya jangan berpecah walaupun berbeza pendapat, wadah dan pendekatan kerana ia akan menghilangkan nilai perpaduan yang telah dibina sekian lama.
“Semoga majlis ini mampu membentuk jati diri dan memupuk rasa kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan semua umat Islam saling mendoakan antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, sempena majlis ini, mantan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Tawau (PRAY), Datuk Ir. Amrullah Kamal dipilih menerima Tokoh Maulidur Rasul tahun ini.
Turut hadir, ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; ADUN Kukusan, Rina Haji Jainal; Timbalan Presiden MPT, Mohd Shoffian Mohd Said; Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dan Pegawai Tadbir JHEAINS Tawau, Kahar Sundu. – Utusan Borneo