UBF Terus Berkongsi Kesedaran Untuk Perjuangkan Hak Sabah, Sarawak

UBF1.jpg
Kongsi Bersama

United Borneo Front (UBF) yang bermula sejak 2010 akan terus berkongsi ilmu pengetahuan dan kesedaran untuk memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Pengasasnya, yang kini Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata pergerakan berasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipelopori beberapa orang itu kini telah mencapai beberapa kejayaan.

“Impak utama gerakan UBF ialah kesedaran ramai orang, termasuk pemimpin dalam parti politik, untuk memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Dr Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata demikian ketika merasmikan majlis ulang tahun ke-11 UBF, menamakan Dewan Guandee Kohoi dan pra-Krismas di Sokid Villa minggu lalu.

Menurut Dr Jeffrey, menerusi UBF, pelbagai program dimulakan antaranya Borneo Tea Party di Sabah, Yayasan Warisan Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Forum Dayak Borneo (Tanah Besar Borneo) melalui Pertubuhan Dayak Borneo yang dipimpinnya.

Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, Borneo Tea Party yang diilhamkan daripada sejarah Boston Tea Party di Amerika telah menunjukkan hasil yang berkesan.

Program di Amerika itu dimulakan sebagai tindakan protes untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah British.

Merujuk kepada situasi semasa, Dr Jeffrey menjelaskan, “perjuangan yang telah dilaksanakan melalui UBF tidak sia-sia kerana ramai pemimpin kini berlumba-lumba menjadi wira dan pejuang hak dan kemerdekaan Sabah dan Sarawak”.

Dr Jeffrey menambah, gelombang PRN Sarawak baru-baru ini yang menunjukkan rakyat menyokong parti tempatan dan menolak parti dari luar seharusnya mendapat perhatian dalam gerakan UBF kerana trend terkini mungkin berlaku di Sabah.

“Pengaruh trend itu diperkukuhkan lagi dengan kewujudan 20-40 peratus pengundi muda yang mungkin mengakibatkan perubahan besar,” katanya.

Mengimbau gerakan UBF, beberapa perintis telah memulakan gerakan itu bersama Dr Jeffrey iaitu Allahyarham Zainal Ajamain, Nila Krishna dan Datuk Badarudin yang dipandu oleh Phillip Among dan Ady Kaloy.

Borneo Tea Party menggunakan pendidikan untuk berkongsi kesedaran di mana ramai intelektual terlibat sebagai penceramah mengenai fakta perjuangan pemimpin awal Sabah, keraguan dan ketidakpuasan hati tentang kedudukan Sabah dan Sarawak.

“Sarawak kini menyambut hari kemerdekaannya dan kita sebenarnya yang telah memulakan dan menyemarakkan perjuangan hak di Sarawak,” katanya.

Menurutnya, gerakan UBF di Sarawak yang dipelopori oleh kira-kira lima orang dengan mengibarkan bendera Sarawak pada 22 Julai sempena hari kemerdekaan Sarawak telah membawa impak yang besar.

 

Susulan momentum itu, acara itu diadakan setiap tahun sehingga 2018 melalui perhimpunan, dengan slogan ‘Sarawak for Sarawakian’ sehingga 22 Julai diwartakan sebagai cuti umum di Sarawak.

“Kejayaan gerakan UBF menjadi jelas apabila isu-isu yang diperjuangkan oleh badan itu diserap ke dalam manifesto parti politik di Malaysia, termasuk oleh bekas Perdana Menteri Datuk Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Tambah Dr Jeffrey, gerakan UBF telah membuahkan hasil sehingga tiada lagi parti politik yang takut, malah tidak mahu ketinggalan untuk memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak di Malaysia.

“Pergerakan UBF masih belum berjaya sepenuhnya, justeru kita mahu meneruskan hasrat untuk memberi kesedaran kepada rakyat dan pemimpin politik untuk merealisasikan impian pemimpin awal Sabah dan Sarawak apabila bersama-sama melaungkan pembentukan Malaysia,” katanya. .

Baru-baru ini, jelas Dr Jeffrey, kesan perjuangan di sebalik gerakan UBF dapat dilihat melalui kelulusan pindaan MA63 pada 14 Disember 2021.

Menurut Dr Jeffrey, pindaan itu telah memulihkan kedudukan sebenar Sabah dan Sarawak di Malaysia dan memperbetulkan tafsiran definisi Persekutuan Malaysia dengan sokongan penuh ahli yang hadir di Parlimen.

Tambahnya, pendekatan Borneo Tea Party masih relevan dan berkesan di mana gerakan sebelum ini telah menunjukkan pengaruh yang besar sehingga banyak pihak terlibat termasuk guru yang sanggup bekerja sepenuh masa.

Dr Jeffrey berharap rakyat Sabah dapat terus memperjuangkan hak mereka dalam Persekutuan Malaysia tanpa mengira parti politik mana yang mereka sertai.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top