TYT Yakin Hala Tuju SMJ Berupaya Pulih, Rangsang Ekonomi Sabah

Hajiji-TYT.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin yakin Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 akan menjadi pemangkin dan peneraju kepada kemajuan negeri Sabah selaras dengan pendekatan mengoptimumkan sumber dan hasil negeri.

Menurutnya, usaha itu akan membantu merangsang pemulihan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan ke arah membina sebuah negeri dan masyarakat yang bersatu padu, harmoni, aman, maju, makmur dan sejahtera.

Katanya lagi, dalam situasi negeri Sabah dicengkam oleh cabaran kemelesetan ekonomi dan pandemik yang belum ada penghujungnya, idea membangunkan semula ekonomi negeri Sabah melalui Hala Tuju SMJ bukan sahaja sesuatu yang amat dinanti-nantikan, malah ia memberi harapan baharu untuk negeri ini terus maju dan mara ke hadapan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan negeri menggariskan Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri yang akan memberi penekanan kepada agenda pembangunan negeri, meliputi semua sektor untuk melonjakkan kembali pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Secara ringkasnya, hala tuju berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memajukan Sabah.

“Ia termasuk memperkukuhkan pembangunan inklusif, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyeimbangkan pembangunan wilayah, memperkasakan modal insan dan memastikan kemampanan alam sekitar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sabah Ke-16 2021 di sini hari ini.

Juhar berkata, bagi mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19 kepada kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi secara berperingkat, kerajaan negeri dan Persekutuan melaksanakan beberapa pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.

Di samping itu jelasnya, kerajaan turut menyalurkan pelbagai bantuan  kepada rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas, termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah, Dana Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah dan pembukaan sektor-sektor ekonomi secara berfasa oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan pula melaksanakan pelan pemulihan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

“Saya optimis usaha-usaha berkenaan akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi di negeri kita.

“Peruntukan besar yang diberikan kepada negeri ini yang berjumlah RM5.1 bilion di bawah Belanjawan Negara 2021 untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan, termasuk pelbagai bantuan bagi menangani pandemik COVID19, mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah dan rakyat keseluruhannya,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 2.0 dan Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 3.0, kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM324 juta bagi membantu rakyat dan semua sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, dari segi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan menyasarkan 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi menjelang penghujung bulan September ini dan jumlah berkenaan akan meningkat kepada 80 peratus pada akhir Oktober depan.

“Dengan komitmen penghantaran bekalan vaksin oleh kerajaan Persekutuan serta kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri dan pelaksanaan program outreach luar bandar yang berkeupayaan memberi suntikan vaksin kepada lebih 80,000 individu sehari, saya yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai.

“Saya berharap penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi sebelum akhir tahun ini,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top