TYT, Ketua Menteri meraikan keberangkatan Kumpulan haji pertama Sabah ke Tanah Suci

hantar-haji.jpg

Juhar (kanan) dan Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kumpulan pertama seramai 134 orang bakal haji Sabah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 5.36 pagi Sabtu dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8.40 pagi waktu Arab Saudi semalam.

Penerbangan itu bergabung dengan bakal haji dari Pulau Pinang seramai 142 orang, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 276 orang menaiki pesawat MH8152.

Kumpulan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.05 malam tadi dan majlis mengucapkan selamat jalan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH) Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said. Pengarah TH Negeri Sabah, Yusdi Nasip serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Hadir menyerikan majlis ialah isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag.

Juhar dalam perutusan khas pada majlis itu menasihatkan para jemaah agar sentiasa bersabar dan toleransi dalam menunaikan ibadah dengan jumlah 3 juta jemaah dari seluruh dunia.

“Setiap musim haji, Kerajaan Arab Saudi akan membenarkan hampir 3 juta jemaah dari seluruh dunia untuk ke tanah suci bagi ibadat haji.

“Keadaan di tanah suci pasti akan sesak dan pastinya mencabar, justeru saya berharap jemaah haji semua dapat bersabar, bertoleransi dan berkasih-sayang sesama saudara Islam tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya,” katanya.

Selain itu, Juhar juga mengingatkan para jemaah haji supaya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak TH.

“Umat Islam di Sabah harus bersyukur kerana TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji, dengan menganjurkan pelbagai kursus, serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehingga ke tanah suci.

“Para jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada dalam melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan yang diberikan oleh pihak TH.

“Para bakal haji juga perlu menggunakan peluang yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang telah dikurniakan,” katanya.

Pada majlis itu. Juhar dan Hajiji masing-masing turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dan sumbangan peribadi kepada bakal jemaah haji terbabit.

Sementara itu, Mohd Naim memaklumkan penerbangan bakal-bakal haji Sabah merupakan penerbangan ke-77 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa 31,600 orang bakal haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M.

Beliau turut mengingatkan bakal-bakal haji untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di tanah suci memandangkan pelaksanaan ibadat ini memerlukan minda dan fizikal, di samping undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Tambah beliau, seramai lebih 22,800 orang bakal haji negara kini telah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah. – PENERANGAN GAGASAN RAKYAT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top