KOTA KINABALU: Parti Warisan mengambil langkah menjarakkan diri daripada cadangan naib presidennya, Terrence Siambun, supaya bekas ketua hakim negara Tun Richard Malanjum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
FMT dalam laporannya semalam memetik Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr,sebagai berkata kenyataan Siambun itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian parti.
“Kami menghormati pandangan beliau, tetapi apa yang lebih penting sekarang adalah memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat Sabah.
“Warisan tidak pernah membincangkan isu Yang di-Pertua Negeri Sabah dan sepenuhnya percaya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata demikian dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Siambun menyatakan bahawa Malanjum sesuai untuk jawatan TYT Sabah kerana beliau merupakan seorang tokoh Sabah yang cemerlang dengan rekod prestasi yang luar biasa, serta menunjukkan komitmennya terhadap keadilan dan perpaduan.
Beliau menambah bahawa pelantikan Malanjum sebagai gabenor akan mencerminkan identiti Sabah sebagai negeri yang harmoni dan pelbagai, serta mengukuhkan lagi perpaduan.
Tempoh perkhidmatan Yang di-Pertua Negeri Sabah sekarang, Tun Juhar Mahiruddin, akan tamat pada penghujung tahun ini.
Malanjum merupakan individu pertama dari Malaysia Timur yang dilantik sebagai ketua badan kehakiman Malaysia selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan pada 2018. Beliau bersara pada April 2019.
Semasa pilihan raya negeri Sabah 2020, Malanjum berkempen untuk gabungan Warisan Plus yang ketika itu terdiri daripada Warisan dan PH.