Oleh: Jaafar Abd Wahid
KUDAT: Amalan turun padang adalah antara empat ciri utama yang perlu ada pada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima secara menyeluruh oleh rakyat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, seorang wakil rakyat perlu rajin turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat di kawasan mereka.
“Jika ini menjadi budaya dan amalan setiap wakil rakyat maka jalinan kemesraan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi akan terus kukuh dan menjadi asas kepada rakyat untuk terus menyokong pemimpin dan kerajaan” katanya ketika ditemui selepas mengetuai wakil -wakil dalam program gotong royong (CSR ) sempena Pemukiman,” Retreat Backbenhers” wakil wakil rakyat GRS di Kampung Langung Ayang, Kudat, baru-baru ini.
Sebanyak tiga kumpulan menyertai program tersebut dengan masing-masing melaksanakan program gotong royong membaiki rumah seorang penduduk di Kampung Langung Ayang,membaiki masjid di Kampung Bahagia dan membaiki gelanggang sepak takraw di Kampung Gumpa.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya program-program amal yang dilakukan itu selaras dengan apa yang selama ini ditekankan oleh kerajaan, selain merupakan salah satu prinsip utama yang ditekankan oleh Perdana Menteri melalui konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysua turut menekankan supaya pembangunan negara bersifat inklusif, iaitu tidak ada mana-mana rakyat yang akan disisihkan, ditinggalkan dan dipinggirkan daripada mendapat manfaat pembangunan dan pembaharuan yang akan diusahakan di negara ini.
Bagi menjayakan pembangunan inklusif itu, bukan sahaja kerajaan perlu menentukan dan melaksana program-program amal, tetapi wakil-wakil rakyat juga diharap dapat membantu mencapai objektif ini melalui aktiviti dan program yang dianjurkan
“Jadi melalui jaringan sosial seperti ini lebih ramai orang kurang upaya, golongan daif dan kurang berkemampuan dapat dibantu, dan dengan ini pembangunan secara inklusif dapat dicapai,” katanya.