Turun kuasa pusat kepada negeri mudahkan pembangunan – Abang Johari

abang-johari.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Langkah Putrajaya menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri disambut baik oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg kerana ia akan memudahkan pembangunan di negeri ini.

Katanya langkah itu dapat memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak dapat dilaksanakan lebih cepat.

“Contohnya, penurunan kuasa untuk melaksanakan projek kurang daripada RM50 juta baru-baru ini dan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran negeri sebagai jabatan teknikal supaya boleh melaksanakan projek infrastruktur dan kemudahan awam lebih licin dan pantas.”

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Kuching malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu mengumumkan kerajaan persekutuan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan sehingga RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat, tanpa perlu kata putus peringkat persekutuan.

Abang Johari berkata, tuntutan dikemukakan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada kerajaan persekutuan bukan bermakna mereka menuntut hak orang lain.

Katanya, tuntutan itu adalah hak mereka yang dijanjikan sewaktu penubuhan Malaysia.

“Sarawak mungkin dituduh bersikap kedaerahan dengan tuntutan tersebut, tetapi rakyat Sarawak hanya mahu hak Sarawak dan tidak berniat merampas hak orang lain.

“Ini adalah kehendak keseluruhan rakyat Sarawak supaya hak dan keistimewaan Sarawak dalam Perlembagaan dan MA63 terus dihormati dan dilaksanakan seperti dipersetujui pemimpin kemerdekaan pada 1963.”

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berterima kasih atas komitmen Anwar merealisasikan MA63 dan memberi jaminan akan terus mendukung pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Kerajaan persekutuan yang kukuh dalam suasana kestabilan politik yang kekal saja mampu memikirkan secara fokus keperluan di seluruh negara, khususnya keperluan di Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan GPS akan terus memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan supaya terus wujud kestabilan lebih kekal agar kerajaan persekutuan boleh mentadbir dengan lebih fokus demi Malaysia yang mampan, lestari dan madani,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top