Turun harga petrol boleh jejas inisiatif rakyat lain, kata Rafizi

rafizi.jpg
Kongsi Bersama

GOMBAK: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata pelbagai inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada rakyat terjejas jika kerajaan mengurangkan harga petrol.

“Rakyat bertanya kepada kita mengapa tidak turunkan harga petrol. Pertamanya, hutang sekarang RM1.5 trilion. Kita ada hutang besar, jadi kerajaan harus buat pilihan,” kata Rafizi yang juga menteri ekonomi pada Jelajah Madani di Sungai Tua malam tadi.

Penjelasannya itu menyusul selepas Ketua Perikatan Nasional (PN) Selangor Azmin Ali setuju menerima cabaran berdebat, dengan syarat Rafizi harus membuktikan beliau berjaya memulihkan ekonomi Malaysia dan menurunkan harga bahan bakar kenderaan.

Pada 2022, Anwar Ibrahim ketika berada dalam blok pembangkang berjanji untuk menurunkan harga petrol, sehari selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.

Rafizi berkata bagi satu liter RON95 yang kini berharga RM2.05, kerajaan telah memberikan subsidi RM1 atau dua pertiga daripada kosnya yang dianggarkan jumlah keseluruhannya berjumlah RM25 bilion.

Tahun lalu, subsidi untuk RON951, diesel dan elektrik mencecah RM80 bilion, dengan pendapatan kerajaan dianggarkan sekitar RM300 bilion.

“Kerajaan kena bayar subsidi sampai RM80 bilion, bayar lagi faedah atas hutang lebih kurang RM30 bilion, tambah pula gaji pekerja, sewa bangunan kerajaan dan perbelanjaan kerajaan beratus-ratus bilion.

“Akhirnya duit itu habis semua, jadi bagaimana kita hendak bantu rakyat untuk naikkan gaji, bina lebih banyak rumah dan wujudkan program basmi kemiskinan yang mengubah kehidupan rakyat,” katanya.

Menurutnya, mungkin mudah bagi kerajaan memenangi PRN dengan mengumumkan harga minyak turun sebanyak 20 sen, tetapi ia akan memberi kesan lebih besar.

Ia termasuk gaji cikgu dipotong, projek rumah rakyat miskin dihentikan dan bekalan air di Kelantan serta Sabah tidak dapat diselesaikan.

“Jadi beritahu kami mana satu tindakan bertanggungjawab perlu dilakukan?,” katanya.

Jumaat lalu, Rafizi berkata tiada sebarang perbincangan mengenai cadangan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel buat masa ini. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top