Tuntutan Waris Sultan Sulu: Tubuh RCI, Bukan Pasukan Khas – Ramasamy

ramasamy.jpg

P. Ramasamy

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) adalah tindakan tepat dan bukannya pasukan petugas dalam menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu, kata P Ramasamy daripada DAP.

Katanya, dengan kuasa yang ada pada RCI, ia mungkin satu mekanisme yang berkesan untuk menangani tuntutan waris dan juga mengkaji keseluruhan perkara mengapa kedaulatan Sabah masih dipersoalkan.

“Penubuhan pasukan petugas oleh kerajaan mungkin merupakan tindak balas lemah terhadap isu ini. Saya cukup bersetuju dengan Naib Presiden Umno, Khaled Nordin bahawa pendekatan yang sepatutnya adalah RCI,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mengetuai pasukan khas tersebut, yang turut dianggotai Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan beberapa pakar timbang tara antarabangsa.

Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, berkata jelas bahawa rampasan aset Petronas di Luxembourg oleh waris Sultan Sulu itu adalah sebahagian daripada tuntutan mereka yang lebih besar dan lebih asas terhadap kedaulatan Sabah.

Tambahnya, RCI juga mampu memastikan mengapa perlunya memotong pembayaran tahunan kepada pihak yang menuntut pada 2013, yang menetapkan proses timbang tara berjalan.

“Ia juga mesti mengenal pasti sebab mengapa mekanisme timbang tara gagal menangani dan menyelesaikan masalah yang berpunca daripada pengurangan pembayaran tahunan.

“Nampaknya tuntutan lama waris itu yang tidak diselesaikan oleh Malaysia membawa kepada rampasan aset Petronas di luar negara. Perkara itu seolah-olah diselubungi misteri,” katanya.

Ramasamy berkata, hakikat Malaysia membayar pampasan tahunan kepada waris itu sehingga 2013 dilihat sebagai pengiktirafan tersirat terhadap tuntutan yang dibuat.

“Mengapa ini tidak diselesaikan pada 1963, dengan pembentukan Malaysia? Mengapakah Malaysia perlu membayar pampasan tahunan kepada waris Sultan Sulu?” soalnya.

Ramasamy berkata, ia membimbangkan apabila tuntutan waris Sultan Sulu itu seolah-olah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Cadangan penubuhan pasukan petugas adalah lemah dalam menangani isu kedaulatan. Sudah tentu, kes yang sama pentingnya dengan tuntutan ke atas Sabah layak mendapat RCI supaya kerajaan dapat menyelesaikan perkara itu.” – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top