Tuntutan Waris Sultan Sulu: Pendirian Sabah Jelas Dan Tegas

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengulangi pendirian untuk tidak mengiktiraf sama sekali tuntutan Filipina mahupun waris kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Walau bagaimanapun, penyelesaian tuntas isu tuntutan itu terserah kepada Wisma Putra dan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi Sabah, pendirian kerajaan cukup jelas dan tegas bahawa tuntutan terhadap Sabah tidak diiktiraf dan tidak akan diiktiraf.

“Rakyat di negeri ini telah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk sebuah negara berdaulat yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pendirian kita cukup jelas daripada awal sehingga sekarang jadi, tidak perlu politik-politikkan. Kita telah mengambil keputusan untuk sama-sama membentuk negara Malaysia,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.

Mengulas tentang cadangan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) agar usul tergempar dibawa dalam sidang DUN, Hajiji berkata, jika diperlukan isu tuntutan terhadap Sabah itu akan dibawa dalam mesyuarat DUN yang akan datang.

Mengenai saranan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) agar kerajaan negeri turut memantau secara mendalam aspek keselamatan di pantai timur Sabah, Hajiji berkata, isu keselamatan Sabah sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

Malah, Kerajaan Persekutuan telah merancang membina kem tentera baharu di Lahad Datu dan menempatkan satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kunak bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah.

Di samping itu katanya, penguatkuasaan melalui pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan agensi keselamatan lain akan dilaksanakan secara berterusan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top