Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen: Sabah senada dengan Sarawak

hajiji-1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mengambil pendirian bersama Sarawak dalam tuntutan untuk mendapat tambahan satu pertiga kerusi Parlimen.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu adalah penting untuk kemajuan negeri.

“Perkara ini dibangkitkan semasa majlis tindakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 September lepas,” katanya.

Bagi tujuan itu, tambah beliau, Sabah perlu mempertimbang beberapa faktor berkaitan pemilihan kerusi Parlimen bagi memenuhi kuota  tambahan tersebut.

“Kita perlu menilai kawasan pilihan raya kita, lokasinya dan bagaimana untuk mencapai pengagihan yang seimbang. Ini adalah untuk menyeimbangkan dimana apabila kita memperkenalkan satu perlembagaan dalam Parlimen, kepentingan Sabah dan Sarawak juga diambil kira,” katanya kepada wartawan di sini pada Selasa.

Beliau menekankan keperluan kerusi tambahan, memandangkan saiz Sabah yang luas.

“Bilangan pengundi atau penduduk mesti juga diambil kira. Takkanlah satu parlimen tapi pengundinya 20,000 orang sahaja. Ini sebagai contoh. Jadi kita akan terus meminta dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini,” katanya.

Hajiji berkata, Bersamadengan Sarawak, mereka telah membincangkan isu ini di pelbagai peringkat, termasuk perbincangan terbaharu pada bulan lepas.

“Kami akan terus mengadakan dialog dengan kerajaan persekutuan. Permintaan ini selaras dengan syarat yang dinyatakan dalam perjanjian MA63 semasa pembentukan Malaysia dan kami telah menyampaikan niat kami dengan jelas kepada Perdana Menteri,” katanya.

Dari aspek sejarah, ketika Malaysia ditubuhkan, Sabah, Sarawak dan Singapura secara kolektif memegang satu pertiga daripada kerusi Parlimen.

Namun, selepas pemisahan Singapura, kerusi-kerusinya telah diagihkan semula kepada Tanah Melayu dan bukannya dibahagikan secara sama rata antara negeri-negeri di Borneo.

Kini, Sabah dan Sarawak berkongsi jumlah 56 daripada 222 kerusi di Parlimen, mewakili hanya 25%.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top