KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan Perikatan Nasional (PN) hanya mahu bermain retorik politik apabila bercadang menjadikan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai perkara utama dalam manifesto PRN Sabah nanti.
FMT dalam laporannya memetik Bung Moktar sebagai berkata,ini kerana kebanyakan tuntutan dalam MA63 telah hampir diselesaikan yang giat dimulakan apabila Barisan Nasional (BN) mula mentadbir negeri itu sejak 1994 dan kini diteruskan bawah Kerajaan Perpaduan.
“Ini semua retorik politik sajalah, sebab MA63 kebanyakannya telah selesai tinggal lagi beberapa perkara tertentu. Sekali pun nak selesaikan tak perlu masuk dalam manifesto sebab MA63 dah dibicarakan berpuluh tahun lalu.
“Jangan gunakan MA63 sebagai batu loncatan untuk tarik pengundi pada PRN Sabah nanti,” katanya kepada FMT.
Bung mengulas kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang menyatakan tuntutan berkaitan MA63 akan dijadikan sebagai induk manifesto gabungan itu pada PRN Sabah.
Bekas perdana menteri itu berkata, mereka akan menunaikan tuntutan berkenaan sekiranya PN menang.
Mengulas lanjut, Bung berkata salah satu tuntutan iaitu mengembalikan bayaran 40% hasil kepada Sabah dan Sarawak sepatutya direalisasikan selepas 2018, selaras janji dibuat Najib Razak iaitu perdana menteri waktu itu.
“Tapi BN kalah (PRU14)…kalau menang mungkin akan dibayar.
“Kalau parti baharu (seperti PN dan Bersatu) baru nak laksana MA63…tak payah main retorik,” katanya yakin rakyat Sabah tidak terpancing dengan kempen PN.