Tuntutan Hak Sabah Wajar Rentasi Batasan Politik – Azis Jamman

azis.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tindakan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), memfailkan semakan kehakiman berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil negeri disokong Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman.

Katanya, beliau adalah Ahli Parlimen yang mula-mula membangkitkan isu berkenaan apabila warta berhubung pemberian khas 40 peratus kepada Sabah, didedahkan Kementerian Kewangan (MOF) buat pertama kalinya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan berkata, peruntukan 40 peratus hasil negeri yang perlu dibayar kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak lagi wujud.

“Saya sokong tindakan SLS sebab saya adalah Ahli Parlimen yang pertama membangkitkan isu ini di Parlimen apabila MOF buat pertama kalinya mendedahkan warta rahsia yang diberikan kepada saya setelah dua menteri memberikan jawapan bercanggah berkenaan hak Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri wujud,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) itu berkata, warta berkenaan jelas menyatakan ia bertujuan untuk dikuatkuasakan hanya dalam tempoh lima tahun mulai 1 Januari 1969, namun beliau mempersoalkan mengapa ia dikuatkuasakan sehingga ke hari ini.

Menurutnya, Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan ekoran tragedi berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 juga telah dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2011 dan ini bermakna semua warta yang dikeluarkan semasa tempoh darurat juga sewajarnya dimansuhkan lebih-lebih lagi warta yang menyentuh hal ehwal perlembagaan yang berkait rapat dengan MA63.

Mohd Azis mempersoalkan apakah sebab dan apakah niat Putrajaya menguatkuasakan warta yang sepatutnya sudah tidak lagi terpakai.

Ini kerana warta itu masih diguna pakai sehingga ke hari ini, sedangkan warta tersebut jelas menyatakan ia bertujuan untuk dikuatkuasakan hanya dalam tempoh 5 tahun sehingga 1974.

“Apa sebab dan apa niat Putrajaya menguatkuasakan warta yang sebenarnya sudah tidak boleh dipakai sedangkan niat awal warta itu juga jelas hanya dalam tempoh 5 tahun, namun sehingga 2022, warta itu masih di guna pakai,” katanya.

Mohd Azis berkata tindakan SLS memfailkan semakan kehakiman adalah wajar dan beliau akan membangkitkan isu ini sekali lagi di Parlimen.

Katanya perjuangan untuk membela hak, kepentingan dan masa hadapan rakyat Sabah akan diteruskan dan beliau tidak akan sama sekali tunduk kepada kuasa politik di Putrajaya.

“Melainkan Putrajaya memang berniat untuk merompak hak Sabah sebagaimana yang dipersetujui di dalam MA63 dan dengan membawa Putrajaya ke mahkamah merupakan satu tindakan yang sewajarnya di lakukan.

“Di dalam sidang yang akan datang, saya akan membangkitkan sekali lagi isu ini kerana sehingga ke hari ini, MOF masih tidak memberikan maklumbalas kepada pertanyaan saya di hari terakhir sesi parlimen yang lepas.

“Perjuangan menuntut hak Sabah wajar dilakukan merentasi batasan politik kerana ini melibatkan soal hak dan kepentingan masa depan rakyat Sabah yang pastinya juga merentasi batasan politik, bangsa dan agama. Itu hak kita dan kita wajar pertahankannya bersama. Jangan sesekali tunduk kepada ‘political master’ di Putrajaya,” ujarnya.

Ordinan Darurat 1969 telah diungkaikan atau dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2011 dan apa-apa warta yang diluluskan sepanjang tempoh tersebut akan terbatal secara automatik setelah tempoh matang enam bulan dari tarikh pemansuhan.

Oleh kerana, ia melibatkan Perlembagaan Malaysia khususnya menyentuh perihal MA63, umum mengetahui tiada pindaan perlembagaan dilakukan tentang pemansuhan 40 hasil Sabah ini dibentang dan diluluskan di parlimen. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top