KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman cuba memanipulasi perkataan ‘perbincangan’ yang digunakan oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Ketua Wira Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, jika diikutkan kerajaan negeri tiada kuasa diplomatik bagi menguruskan isu melibatkan dua negara.
Segala urusan diplomatik berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan Anifah selaku Menteri Luar yang memegang jawatan itu dari 2009 hingga 2018 gagal menyelesaikan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Jika dilihat kembali kenyataan Presiden Warisan, Mohd Shafie tidak pernah mengiktiraf tuntutan Sulu. Malah, sebelum ini, beliau menggesa Putrajaya agar mengambil serius isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.
“Adakah dengan menyatakan Putrajaya perlu mengadakan perbincangan diplomatik dengan kerajaan Filipina dan mendesak agar Filipina menggugurkan tuntutan terhadap Sabah menyebabkan Mohd Shafie dianggap mengiktiraf tuntutan Sulu?.
“Perbincangan diplomatik yang dimaksudkan adalah meminta Putrajaya dan Kedutaan Filipina duduk bersama dan menyelesaikan isu tuntutan tersebut agar ia tidak lagi menjadi isu pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, perkataan digunakan Mohd Shafie cuba dimanupulasi dengan cuba mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan persekutuan menangani isu tersebut.
“Perbincangan bukan bermakna kita mengiktiraf (tuntutan). Ini menunjukkan Anifah sanggup melakukan apa sahaja untuk menyalahkan orang lain dan beliau mungkin tidak menyedarinya.
“Anifah perlu memahami bahawa ‘perbincangan’ dan ‘pengiktirafan’ adalah dua perkara yang membawa maksud berbeza. Istilah ‘perbincangan’ itu bermaksud dua negara mengadakan pertemuan dan menyelesaikan isu berbangkit,” jelasnya.
“Sebagai contoh, apabila Ukraine mengajak Rusia berbincang mengenai penjajahan Rusia terhadap Ukraine, adakah itu bermaksud Ukraine mengiktraf penjajahan Rusia ke atas Ukraine? Sudah pasti jawapannya tidak, namun mengapa Presiden Ukraine menyatakan dia terbuka untuk berbincang dengan Russia?
“Jawapannya, kerana penyelesaian sesuatu konflik hanya boleh dilakukan menerusi proses perbincangan dengan duduk berbincang secara bersemuka dengan harapan isu berkenaan dapat diselesaikan,” katanya lagi.
Pada kenyataan itu Azis turut mempersoalkan mengapa Anifah tidak bertindak menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah, ketika memegang jawatan Menteri Luar?