TAMBUNAN: Rakyat Sabah mahu kerajaan Persekutuan segera menunaikan pemberian 40 peratus daripada hasil keseluruhan yang dikutip daripada negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, Datuk Victor P. Paut menegaskan, sudah sampai masanya kerajaan Persekutuan menunaikan janji ini.
“Ini bukan perkara baharu dan rakyat Sabah sudah lama tertunggu-tunggu, ia tidak perlu dilengahkan lagi…kita mahu yang dijanjikan itu ditunaikan segera.
“Jangan ditangguh-tangguhkan lagi, sebenarnya ia tidak perlu dibincangkan atau dikaji lagi kerana ia sudah termeterai dalam MA63.
“Kita telah menanti selama 60 tahun dan kita berharap Perdana Menteri dapat merealisasikan janji-janji itu untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Tondulu di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Kg. Tondulu, Romanus Joannes dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kiawayan, Geoffrey Chong.
Dalam ucapannya, Victor berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun merupakan budaya diwarisi sejak dahulu lagi dan bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas tuaian yang baik.
Selain itu katanya, ia juga memberi peluang kepada saudara-mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturrahim.
“Kita amat bertuah kerana dikurniakan budaya dan seni tradisi yang kaya, justeru itu adalah menjadi harapan saya Pesta Kaamatan kali ini dapat memperkukuhkan serta memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Sabah umumnya, masyarakat Kg. Tondulu khususnya,” katanya.
Beliau juga menyeru seluruh penduduk Kg. Tondulu untuk mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang bagi seluruh penduduk kampung serta generasi akan datang.
Pada majlis itu, Victor turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM30,000 kepada Kiawayan Club Dance SK Kiawayan yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan Asia Folk 2024 Festival di Ulaanbaatar, Mongolia pada 14 sehingga 16 Jun ini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan Datin Seri Corrina Agnes Sinidol berjumlah RM20,000 dan sumbangan peribadi beliau RM10,000 kepada Kiawayan Club Dance.
Selain itu, Victor turut memberikan sumbangan kepada Koperasi TANI Kg. Tondulu sebanyak RM2,500 untuk kos membeli sulur nanas sebanyak 5,000 sulur untuk ditanam di ladang seluas satu ekar dan RM500 kepada Belia Kg. Tondulu untuk kos mengecat gelanggang sepak takraw dalam dewan.
Victor berharap Kiawayan Club Dance akan mencapai kejayaan seperti yang mereka capai pada 2019, di mana pada ketika itu kelab ini merangkul juara Harmanfolk Folklore Festival di Istanbul Turki.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor meluluskan sumbangan dana sebanyak RM30,000 untuk Kiawayan Dance Club. – PENERANGAN GAGASAN RAKYAT