KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru untuk memberikan sokongan kepada Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah yang ke-11.
Bekas ketua menteri, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata Musa, yang merupakan Ketua Menteri Sabah paling lama berkhidmat dari tahun 2003 hingga 2018, akan membawa kestabilan kepada Sabah yang baru-baru ini digemparkan dengan video berkaitan skandal rasuah yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Tun Musa akan membawa pengalaman luasnya dalam pentadbiran dan menstabilkan keadaan politik yang tidak menentu di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Salleh, yang juga ADUN Usukan berkata bahawa perlantikan seorang bekas Ketua Menteri sebagai TYT Sabah bukanlah sesuatu yang luar biasa, memandangkan terdapat empat ahli politik sebelum ini yang mencapai kedudukan tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat dua individu Sabah yang pernah dilantik sebagai TYT kemudian menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Kita mempunyai sejarah yang unik. Ini menunjukkan Sabah sentiasa mencari kestabilan,” kata Salleh selepas menyambut Musa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Rabu.
Musa kembali ke Sabah selepas menerima watikah pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama Sabah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
Musa, 73 tahun, akan menggantikan Tun Juhar Mahiruddin selepas tempoh perkhidmatannya sebagai TYT Sabah yang ke-10 tamat pada 31 Disember.
TYT Sabah yang pertama, Tun Mustapha Harun, menjadi Ketua Menteri pada tahun 1967, manakala Ketua Menteri pertama Sabah, Tun Fuad Stephens, menjadi TYT pada tahun 1973.
Selepas Stephens meletakkan jawatan sebagai TYT, beliau menyertai politik, dan partinya memenangi pilihan raya Sabah pada tahun 1976, seterusnya beliau dilantik semula sebagai Ketua Menteri buat kali kedua.
Ketua Menteri Sabah keempat, Tun Mohammad Said Keruak, dilantik sebagai TYT ketujuh pada tahun 1987.
Tun Sakaran Dandai, yang dipilih menjadi Ketua Menteri pada tahun 1994, dilantik sebagai TYT setahun kemudian.