KOTA KINABALU: Bekas timbalan ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz mengumumkan beliau akhirnya dipecat dari parti itu selepas hampir dua tahun keahliannya dalam parti itu digantung kerana secara terbuka menentang Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Faisal dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau menerima surat pemecatan yang dihantar Ibu Pejabat UMNO menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 4.28 petang Selasa.
UMNO pada Mac 2021 menggantung keahlian Faisal yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa selama enam tahun kerana membuat kenyataan terbuka menentang Zahid.
Faisal juga menyalahkan Zahid kerana mencetuskan perbalahan dalam UMNO dan menuduh beliau mengkhianati penyokong YMNO dengan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan.
Merujuk kepada surat pemecatan yang diterimanya, Faisal berkata, jumlah kesalahan dan pelanggaran peraturan yang didakwa ke atasnya cukup banyak.
“Cuba bandingkan surat pemecatan saya dengan surat penggantungan Hishammuddin. Kan banyak bezanya. Ini barulah dakwaan pelanggaran peraturan yang betul,” katanya yang turut memuat naik surat penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu.
Kata Faisal kali ini beliau tidak akan merayu pemecatannya itu kerana keputusannya sudah boleh dijangka dan menambah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Zahid tidak terbuka menerima kritikan.
“Jika MKT dan Lembaga Disiplin benar-benar berfungsi, orang yang pertama yang patut dipecat adalah Zahid kerana beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 diikuti 13 pemimpin UMNO lain yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri,” katanya.
Faisal adalah pemimpin UMNO terbaru dipecat parti itu selepas bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang turut menerima nasib sama kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.
Bekas ketua penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan beberapa pemimpin lain termasuk bekas naib presiden, Hishammuddin; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif; dan pemimpin UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang pula digantung keahlian selama enam tahun. -FMT