Tularkan video tanpa maklumat, KPDN sukar ambil tindakan-Armizan

armizan.jpg

(Gambar fail: Kredit: Laman Rasmi KPDN)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tindakan orang ramai menularkan paparan video dan gambar mengenai kenaikan harga beras tanpa maklumat terperinci menyukarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan segera.

Justeru, orang ramai perlu mengemukakan aduan rasmi yang lengkap dengan maklumat diperlukan bagi membolehkan penguatkuasa KPDN mengambil tindakan.

Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sekiranya aduan yang dilaporkan lengkap dengan maklumat, ia memudahkan tindakan penguatkuasan diambil.

“Kalau setakat viral gambar, video tapi tiada maklumat, mungkin jurang masa bagi (KPDN) mencari maklumat itu, pihak melakukan kesalahan telah ambil tindakan untuk menyembunyikan (kesalahan). Jadi, kita harap dapat kerjasama masyarakat dalam menangani isu ini,” katanya semasa merasmikan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia, semalam.

Beliau berkata, sejak Op Jamin dilaksanakan bermula Julai sehingga semalam, KPDN telah menerima sebanyak 142 aduan mengenai harga beras di seluruh negara.

Dalam isu kenaikan harga beras, kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyorok bekalan beras dan menjual stok lama pada harga baharu.

Menurut beliau, risiko sebegitu memang wujud dan sebab itu beliau mengarahkan KPDN memperkasakan penguatkuasaan agensi tersebut.

Katanya, sebanyak 295 pemeriksaan dilakukan terhadap premis perniagaan di Sabah dan beliau mahu lebih banyak pemeriksaan harian dibuat agar tiada pihak mengambil kesempatan susulan kenaikan harga beras import baru-baru ini.

Di samping itu, KPDN turut menubuhkan Unit Risikan Perniagaan bermula 1 September lalu untuk memastikan pegawai penguatkuasa dapat bertindak secara responsif terhadap aduan yang diterima serta melakukan risikan awal untuk mengekang isu kartel di negara ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Papar itu berkata, beliau akan membantu kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi tempatan termasuk di kawasannya agar tahap sara diri (SSL) padi dan beras di Sabah dapat ditingkatkan.

“Kita akan meningkatkan SSL padi dan beras merentasi pelbagai aspek dan kita harap dengan peningkatan SSL, kita boleh melaksana kawalan harga beras di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga).

Ketika ini SSL beras di Sabah hanya 22 peratus berbanding di Semenanjung yang sudah mencapai 70 peratus SSL dalam pengeluaran beras tempatan. – WARTA ORIENTAL

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top