Tular lagi, murid pedalaman Sabah terlepas peluang beraksi di MSSM di Johor

pelajar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Selepas tular kekecewaan seorang guru pasukan bola sepak Bawah 18 Sabah kendaliannya tidak dapat beraksi di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berikutan kekangan kewangan, kali ini tular pula nasib seorang pelajar di pedalaman negeri ini yang tidak dapat bersama pasukan bola tampar B-12 MSSM Sabah di kejohanan yang sama.

Kes itu membabitkan seorang murid perempuan dari Pagalungan, daerah Nabawan, di pedalaman negeri ini.

Menerusi pendedahan terbaharu dibuat menerusi hantaran Facebook oleh individu bernama Lin Yee, dia mendakwa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Babalitan itu tidak dapat ikut serta dalam kejohanan MSSM meskipun terpilih untuk mewakili pasukan bola tampar B-12.

Lin Yee, daripada sebuah NGO, Forces Of Love tidak menamakan gadis terbabit bagaimanapun menyiarkan gambar murid tersebut menaiki bot bersama seorang lagi pelajar lain.

Gambar dikongsikan itu turut memaparkan bapa murid tersebut yang berada di atas bot berkenaan.

“Tidak puas hati sebab ada murid (SK) Babalitan seorang terpilih untuk wakil bola tampar Sabah ke MSSM B-12 tapi tidak dihantar.

“Kesian, bukan sehari dua berlatih dan bukan senang murid pedalaman ada peluang melihat negeri orang sebab serba kekurangan.

“Akhirnya sudah buat yang terbaik tapi tidak dihantar, saya pun rasa kecewa apa lagi murid itu sendiri,” katanya dalam hantaran itu.

Menurutnya lagi, murid perempuan berkenaan sangat baik dari segi akademik mahupun sukan dan terpilih mewakili Sabah untuk pasukan bola tampar perempuan B-12 merupakan peluang dalam seumur hidup agar dia boleh mendapat sijil, seterusnya boleh memohon ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

“Mereka berusaha lebih keras berbanding yang hidup di bandar hanya untuk mendapatkan peluang untuk mengubah hidup mereka,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Lin Yee turut membawa perhatian mengenai isu tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Perkongsian itu turut mendapat lebih 1,000 perkongsian dan 800 tanda emoji.

“Di manakah keprihatinan terhadap anak-anak kita di pedalaman Sabah?” soal Lin Yee yang turut menambah bahawa sekolah itu terletak di Pagalungan Kecil, berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia.

Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak perkara itu terlebih dahulu sebelum mengulas.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang guru yang meluahkan kekecewaannya kerana skuad bola sepak B-18 kendaliannya tidak ‘diterbangkan’ ke Johor untuk beraksi di peringkat MSSM.

Perkara itu kemudian mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri yang memberi sumbangan RM50,000 bagi pasukan itu bersama skuad B-15 untuk beraksi di peringkat MSSM.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top