Tugas Sebagai Pengerusi SUDC Satu Cabaran Baharu – Jamawi

jamawi-SUDC.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) yang baharu Jamawi Jaafar berkata amanah yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi beliau menggalas tugas sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan itu merupakan satu cabaran baharu untuk dilaksanakan.

Katanya, tugas serta tanggungjawab tersebut di luar dari kemahiran beliau yang lebih akrab dalam bidang pertanian namun beliau beranggapan amanah yang diberikan itu adalah satu cabaran yang mendorong beliau berfikir di luar kotak pemikiran.

“Saya anggap ini satu cabaran baharu, namun dengan adanya pihak pengurusan yang sedia ada serta berpengalaman dengan membudayakan konsep kerja berpasukan saya yakin tugas serta tanggungjawab ini mampu dilaksanakan sebaiknya,” katanya dalam amanat awalnya bersama pihak pengurusan SUDC selepas menerima surat pelantikannya sebagai pengerusi baharu SUDC yang disampaikan oleh bekas Pengerusi SUDC sebelum ini Datuk Bonipasiius Bianis @Boniface di Pejabat SUDC Wisma MAA dekat sini kemarin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Haji Pangiran Saifuddin Pg Tahir,Pengurus Besar SUDC Anthony Undan Dumpangol,Timbalan Pengurus Besar Datin Leena Toyoi serta pegawai-pegawai kanan SUDC.

Menurut Jamawi yang juga bekas Adun Kemabong SUDC yang terlibat dalam sektor pembangunan hartatanah pusat komersial dan perumahan sudah tentu berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya ketika ekonomi negara merudum ekoran penularan pandemik Covid-19 yang tentunya menjejaskan usaha membangun dan merangang ekonomi negeri Sabah menerusi pembangunan hartatanah.

“Kita akan mencari makenisme baharu untuk menangani cabaran ini dan ini akan kita perincikan dalam mesyuarat pengurusan yang akan datang,” jelas beliau.

Sambil menghargai  dan berterima kasih kepada kerajaan negeri GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor yang memberikan kepercayaan melantik beliau sebagai Pengerusi SUDC Jamawi berharap konsep kerja berpasukan dalam organisasi tersebut akan terus menjadi budaya bukan sahaja di pihak pengurusan malah di peringkat kaki tangan bawahan.

“Kejayaan organisasi ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab sepenuhnya oleh pihak pengurusan tertinggi malah semua pihak perlu mengamalkan budaya kerja berpasukan bagi meletakkan SUDC sebagai salah sebuah syraikat berkaitan kerajaan di negeri ini  dalam mencipta kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” tambah beliau.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top