KOTA KINABALU: Presiden Parti STAR, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan menyelar dakwaan dan tuduhan beliau bersubahat untuk menentang Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, tuduhan itu hanya bermotifkan politik dan bertujuan memecahbelahkan GRS.
“Saya menyedari tentang video yang sedang tersebar di media sosial yang menuduh saya bersubahat menentang Ketua Menteri.
“Tiada konspirasi seperti itu yang wujud atau pernah wujud.
“Parti STAR Sabah dan saya telah memberikan sokongan penuh kepada Datuk Hajiji untuk menjadi Ketua Menteri pada tahun 2020 dan sejak itu sokongan kami tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
“Tuduhan itu adalah palsu, mengelirukan, dan bermotifkan politik. Saya percaya ia bertujuan untuk memecahbelahkan kami dan GRS serta rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau pada masa sama, turut mengulas mengenai tangkapan skrin yang dirujuk, yang didakwa diambil pada 1 November 2024 dan menampilkan sebahagian perbualan yang dipetik di luar konteks, dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan tersebut.
“Tambahan pula, tuduhan ini nampaknya disusun untuk seiring dengan tuduhan tidak berasas baru-baru ini terhadap kerajaan negeri Sabah, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya percaya pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran pada masa yang sesuai.
“Saya tetap komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan berterusan Sabah. Sebarang percubaan untuk memacu perpecahan antara pemimpin yang berusaha ke arah Sabah yang lebih baik tidak akan berjaya,” tegasnya.
Dr Jeffrey dalam pada itu turut menyeru orang ramai supaya berwaspada terhadap maklumat yang salah dan tidak terpedaya dengan penceritaan berniat jahat yang bertujuan menggugat kestabilan kerajaan negeri.
“Saya akan terus fokus untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan integriti dan ketelusan.
“Marilah kita maju bersama untuk Sabah yang lebih kukuh dan bersatu,” katanya.
— Mirlen A./Penerangan Gagasan Rakyat