KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Sabah mengingatkan Parti Liberal Demokratik (LDP) agar tidak menjadi parti penghasut serta membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah dengan membuat penyelewengan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketuanya, Hendri Hamsah berkata LDP perlu berhenti daripada memainkan peranan sebagai penghasut yang cuba memecahbelahkan keharmonian masyarakat Sabah.
Katanya, tuduhan bahawa PAS hanya mementingkan kepentingan diri adalah fitnah yang tidak berasas.
“PAS sentiasa berusaha untuk mempromosikan perpaduan dan kerjasama dalam kepelbagaian kaum serta agama di negara ini.
“Saya ingin menjelaskan bahawa PAS sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan untuk semua rakyat khususnya negeri Sabah
“Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PAS bukanlah untuk menjadikan Sabah sebagai ‘alat’, tetapi sebagai rakan strategik dalam memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira wilayah,” ujar beliau dalam satu kenyataan, kelmarin.
Menurutnya, adalah tidak wajar bagi LDP untuk meremehkan kebijaksanaan pengundi Sabah.
“Rakyat Sabah tahu menilai mana parti yang benar-benar memperjuangkan hak mereka dan mana yang hanya berusaha menimbulkan kekeliruan.
Tambahnya, PAS yakin bahawa rakyat Sabah cukup bijak untuk menolak politik perpecahan yang cuba dibawa oleh pihak tertentu.
“PAS telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama khususnya melalui ADUN Lantikan dan lantikan-lantikan politik PAS Sabah,” kata beliau.
Jelasnya, PAS Sabah berdiri teguh dengan prinsip perpaduan, keharmonian dan keadilan serta tidak akan membiarkan pihak-pihak tertentu menjejaskan keharmonian ini dengan fitnah ataupun tuduhan palsu.
“Sebagai sebuah parti yang mengutamakan keharmonian dan kerjasama, kami mengajak LDP dan semua pihak yang terlibat untuk berdiskusi secara terbuka dan beradab.
“Saya ingin mengajak untuk berdiskusi dengan matang bagi mencapai pemahaman yang lebih baik, daripada menimbulkan perpecahan melalui kenyataan yang tidak berasas.
“Diskusi yang berlandaskan fakta dan kejujuran adalah jalan terbaik untuk memajukan negeri Sabah dan menjaga kepentingan rakyat,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY