TUDM Jayakan Program Mindef Prihatin Ke Sabah

tudm.jpg
Kongsi Bersama

SHAH ALAM: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah digerakkan untuk membawa barang-barang bantuan kemanusiaan daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) di bawah Program Mindef Prihatin ke Sabah.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menggunakan sebuah pesawat A400M bagi mengagihkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat bencana banjir di negeri tersebut.

Antara barangan yang telah dibawa menerusi penerbangan itu ialah kain batik, kain pelikat, telekung, tilam, tikar, kit kebersihan, baju sejuk dan selimut dengan anggaran berat keseluruhan 1,500 kilogram (kg).

“Selain itu, TUDM turut membawa 3,173kg kotak bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut disalurkan kepada rakyat Sabah yang terkesan dengan banjir.

“Urusan memuat naik barangan bantuan bermula seawal jam 5 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M,” kata kenyataan rasmi di Facebook TUDM pada Selasa.

TUDM berkata, pesawat tersebut dikendalikan oleh Mejar Tengku Syed Muhammad Amin TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Mohamad Ridhwan TUDM selaku pembantu juruterbang.

“Anak kapal lain yang turut terlibat adalah tiga orang loadmaster iaitu Pegawai Waran Udara II Rifian, Sarjan Udara Kamarul Arifin dan Sarjan Udara Abdullah,” katanya.

Urusan memuat naik barangan bantuan pada jam 5 pagi ini oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M.

Dalam kenyataan sama, TUDM juga komited melaksanakan penghantaran alatan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia.

Selain itu, TUDM turut membawa pulang sampel Covid-19 daripada Labuan, Tawau dan Kota Kinabalu ke Subang untuk dihantar bagi pelaksanaan ujian di makmal semenanjung.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal nombor 22 Skuadron serta anggota Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang yang sentiasa bersiap siaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“TUDM akan sentiasa mendukung usaha dan kerjasama bersepadu di antara Mindef serta melalui perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia bersama agensi-agensi kerajaan yang lain, agensi-agensi badan korporat dan swasta serta NGO yang menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top