KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan menubuhkan Suruhanjaya Bersepadu bagi mengawal ketirisan minyak masak bersubsidi di wilayah Borneo itu.
Katanya, kerajaan tidak boleh membiarkan kuasa pasaran begitu sahaja, kalau tidak dikawal sudah tentu akan wujud kartel yang akan mengaut keuntungan sebagai orang tengah secara melampau.
“Krisis ketirisan minyak masak bersubsidi bukanlah isu baharu, namun ia dilihat semakin meruncing susulan pemansuhan subsidi minyak masak botol berkuatkuasa 1 Julai lalu, ” katanya.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata demikian selepas melancarkan Kejohanan Sukan Tahunan LPPB Ke-55 di Dewan Badminton Yayasan Sabah, semalam.
Katanya, jika dipersetujui penubuhan Suruhanjaya itu bukan sahaja berfungsi mengawal ketirisan tetapi turut memantau pihak yang dilantik membungkus minyak masak secara pukal mengikut kuota yang ditetapkan.
“Minyak masak peket bersubsidi ini bukan sahaja menjadi rebutan pembekal domestik, tetapi menjadi sasaran aktiviti ketirisan ke negara jiran, “ katanya.
Masiung berkata, sempadan darat dan perairan Sabah dan Sarawak yang berjiran dengan Indonesia, Filipina dan Brunei begitu luas mungkin memberi ruang kepada aktiviti penyeludupan.
Katanya, kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM4 bilion tahun ini untuk 60 ribu tan metrik minyak masak tetapi ia tidak adil kepada warga tempatan kerana kemudahan subsidi itu turut dinikmati oleh rakyat di negara jiran.
Menurut beliau, bagi membina keyakinan rakyat penubuhan bersama Suruhanjaya Bersapadu itu boleh digunapakai untuk mengawal inflasi berikutan tekanan ekonomi yang membebankan rakyat.
Sementara itu, semasa berucap di majlis pelancaran Sukan Tahunan LPPB, Masiung menggesa pegawai dan kakitangan agensi itu menjalinkan hubungan kerjasama dalam urusan pentadbiran.
Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping turut hadir mengetuai kira-kira 150 kakitangan yang mengambil bahagian dalam 15 acara sukan yang dipertandingkan pada sukan tahunan itu. – SABAHitz On9 TV