KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak pernah membuat sebarang mengenai komitmen kewangan untuk penganjuran bersama Sukan SEA 2027.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan bahawa mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu memutuskan bahawa Sabah masih belum bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama acara sukan berprestij itu.
Dalam ciapan di laman X Masidi menjelaskan bahawa, “Kabinet Sabah hari ini mengesahkan bahawa kami belum membuat sebarang komitmen kewangan untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
“Infrastruktur sukan di Sabah memerlukan peningkatan yang ketara sebelum kami boleh mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah bersama.”
Penjelasan itu menyusul berikutan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang akhir bulan lalu mengumumkan bahawa Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur bersama dengan tiga negeri lain iaitu Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang.
Katanya, kos keseluruhan penganjuran sukan itu dianggarkan mencecah RM700 juta berdasarkan kos Sukan SEA 2017, dengan kerajaan Sarawak bersetuju menampung 50 peratus iaitu lebih RM300 juta, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang pula RM15 juta.