TSA 2012 dan pelantar benua kekal sebagai perkara ‘tidak boleh dirunding’

brandon.jpg

Datuk Brenndon Keith Soh

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Akta Laut Wilayah 2012 [TSA 2012] tidak terpakai kepada Negeri Sabah dan pelantar benua kekal sebagai wilayah Negeri seperti yang diisytiharkan oleh Perintah Majlis Utara Borneo (Pindaan Sempadan) 1954.

Tuntutan ini telah direkodkan secara rasmi pada 12 Sept 2024 sebagai “tidak boleh dirunding” di bawah Majlis Tindakan MA63 [Majlis MA63] yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun terdapat kemajuan yang signifikan di bawah Majlis MA63 berkaitan dengan tuntutan dan hak negeri yang lain, TSA 2012 dan pelantar benua kekal dalam senarai “setuju untuk tidak bersetuju”.

“Timbalan Perdana Menteri juga menyatakan bahawa perkara ini akan terus dibincangkan di peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah, dan Premier Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, jabatannya akan kekal komited dalam mempertahankan pendirian kerajaan negeri dalam perkara itu.

Mengenai Keputusan terkini Mahkamah Tinggi yang menolak cadangan jabatan yang diterajuinya untuk membantu sebagai amicus curiae dalam kes mengenai tuntutan laut wilayah baru-baru ini, pihaknya menghormati Keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu.

“Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) juga telah memberi sokongan kepada Jabatan ini untuk memberikan bantuan dalam kes, namun Peguam Negara Persekutuan telah membantah perkara itu.

“Bagaimanapun, adalah budi bicara mahkamah untuk menentukan sama ada bantuan kami diperlukan atau tidak dalam menyelesaikan pertikaian undang-undang di antara kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam kes ini katanya, mahkamah telah membuat keputusan yang sebaliknya.

Katanya, walaupun dengan keputusan ini, Jabatan akan terus ikhlas menawarkan sokongan untuk memberikan pandangan perundangan rasmi Negeri berkenaan dengan perkara ini yang melibatkan kepentingan awam.

Menurutnya, jabatan ini juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti.

“Seperti yang dinyatakan juga dalam keputusan mahkamah, masih lagi terbuka bagi kerajaan negeri untuk melibatkan diri sebagai pihak dalam prosiding undang-undang itu dan pilihan ini akan dipertimbangkan dengan teliti bersama semua pilihan yang lain bergantung kepada keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mengenai perkara ini,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top