PAPAR: Seorang lelaki maut tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Simpudu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa Stetnius Munsin, 30, yang tersepit akibat rempuhan yang berlaku disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Semasa tiba di lokasi terdapat dua kenderaan bertembung iaitu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah lori 10 tan.
Pemeriksaan di lokasi mendapati, seorang mangsa yang memandu Mitsubishi Triton tersepit dalam kemalangan berkenaan.
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan alat penyelamat dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.