Trend Penurunan Covid-19 Di Sabah Hasil Pelbagai Usaha dan Strategi

IMG_20211002_141922.png
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pelbagai usaha dan strategi yang digunapakai, termasuk pemberian vaksinasi berkesan dalam mengawal penularan pandemik Covid-19 di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

“Penularan pandemik Covid-19 di Sabah telah menunjukkan trend penurunan. Ini adalah kerana pelbagai usaha dan strategi yang digunapakai iaitu pemberian vaksinasi kepada seluruh rakyat di negeri Sabah.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap dos suntikan vaksin adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

“Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Sabah telah mencapai kadar vaksinasi 80 peratus imuniti kelompok,” katanya ketika menyampaikan ucapan menjunjung kasih semasa istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran dan bintang-bintang serta pingat-pingat Negeri Sabah sempena hari jadi rasmi ke-68 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu hari ini.

Ketua Menteri berkata, setakat 29 September 2021, jumlah penduduk dewasa yang lengkap suntikan vaksin adalah sebanyak 64.3 peratus, manakala jumlah penduduk dewasa telah sekurang-kurangnya menerima 1 dos adalah 73.9 peratus.

“Perkembangan yang positif ini menyebabkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka di Sabah bermula 1 Oktober ini, dengan memastikan semua pekerja dan pelanggan lengkap suntikan vaksin serta berstatus risiko rendah,” kata Hajiji.

Beliau berkata, sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, berprinsip kebertanggungjawaban dan komited, satu bentuk pelan induk yang bersifat komprehensif dalam membangunkan negeri Sabah, dengan memanfaatkan kekuatan tersendiri dan jati diri semangat cintakan negeri Sabah sebagai tunjangnya, juga telah diusahakan.

“Dengan ini terhasillah Hala Tuju Sabah Maju Jaya, iaitu Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025, yang telah dilancarkan pada 29 Mac lalu. Pelan Pembangunan SMJ ini memayungi pelbagai pelan sektoral sedia ada. Ia juga sejajar dengan pelan di peringkat nasional dan global iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030),” katanya.

Jelasnya, pelan ini ditunjangi dengan tiga elemen iaitu S: Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

Sejak pelan ini dihasilkan, tambahnya, pelbagai inisiatif di bawah elemen-elemen ini telah memberi manfaat kepada rakyat di negeri Sabah.

“Tuan Yang Terutama Tun ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Sekalian rakyat amat menghargai kestabilan dan keharmonian hidup yang telah kita kecapi sejak turun temurun. Perasaan kekitaan dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat negeri Sabah merupakan nilai budaya hidup yang akan terus kita semai dan amalkan.

“Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat, berikrar untuk menumpahkan sepenuh taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk terus menaungi Negeri Sabah yang tercinta ini,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Negeri.

Beliau berharap agar pengurniaan ini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam semua penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan usaha untuk sama-sama memajukan Negeri Sabah yang tercinta agar negeri ini terus maju, makmur, aman dan sentosa.

Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri Puan Sri Noorainee Haji Abdul Rahman; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji Kadzim Haji M. Yahya, dan isteri Datin Norani Haji Salleh; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin
dan isteri Datin Seri Panglima Nor Asidah Alimuddin; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-68 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan isteri Datin Linda Ewit; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan isteri Puan Sri Norizam Che Mohd Nor, antara lainnya, turut hadir.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top