‘Tren Saling Bercium’: Gesaan Agar Tajuddin Dipecat Meningkat

Tajuddin-Abdul-Rahman-Prasarana-LRT-Bernama-1.jpg
Kongsi Bersama

Media sosial dihujani gesaan agar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disingkirkan daripada Prasarana Berhad, selepas mengadakan satu sidang media berhubung kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru inni.

Tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan menjadi sohor kini di Twitter,  malah petisyen dalam talian juga dilancarkan bagi menggesa dia berundur segera.

Pada malam Isnin lalu, dua tren LRT bertembung – mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital – enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Tidak seperti Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong yang turun padang pada malam itu, Tajuddin hanya dilihat berada di lokasi kejadian pada keesokan harinya.

Ketika ditanya mengenai ketidakhadirannya, Tajuddin berkata tindakannya datang ke lokasi kejadian pada awal pagi berikutnya adalah bukti betapa seriusnya dia menanggapi insiden itu, walaupun kemudiannya dilihat dia ketawa kecil.

Pengerusi Prasarana itu juga menjelaskan dia tidak dapat datang ke lokasi kejadian pada malam itu kerana baru sahaja selesai bermesyuarat dan sedang bersiap sedia untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

Ketika ditanya mengenai keadaan dalam terowong bawah tanah itu, Tajuddin memberitahu wartawan itu “normal … hanya dua tren bersama, saling bercium …” katanya yang kemudian ketawa kecil.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan Tajuddin sebagai “bencana yang tidak dapat disangkal”.

“Pengerusi Prasarana membuat lawak mengenai pelanggaran itu, sambil tersenyum mengatakan tren berkenaan bercium sesama sendiri.

“Orang ini harus dipecat segera kerana tidak hanya memiliki rasa empati tetapi kerana gagal melakukan tugasnya,” tambah anggota parlimen itu.

Charles juga menyifatkan bayaran pampasan sebanyak RM1,000 kepada mangsa yang terlibat dalam nahas itu sebagai satu ‘penghinaan’.

Kerajaan sebelum ini menyatakan siasatan awal mengenai pelanggaran tren LRT di terowong bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru itu disebabkan “kecuaian” pemandu dalam mengendalikan salah satu tren tersebut secara manual.

 

Baca seterusnya di Malaysiakini

Foto: Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top