TAMPARULI: Trek Joging Tamparuli (TJT) sudah dilengkapi kemudahan lampu limpah solar sekaligus membolehkan penduduknya beriadah di kawasan itu pada waktu malam.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim tidak menolak kemungkinan menggerakkan fasa kedua projek itu jika terbukti memberikan manfaat kepada warganya.
“Pada fasa kedua, kita akan menambah lagi bilangan lampu limpah solar yang ada dan mungkin fasa ketiga pula akan dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.
Jahid berkata demikian semasa meluangkan masa menghadiri Program Rekreasi Riadah Santai Bersama Pemimpin Tempatan di TJT di sini, malam semalam.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu berkata fasa ketiga akan melibatkan pembinaan stesen kecergasan pada kedudukan setiap 100 meter.
“Dengan adanya kemudahan lampu solar ini juga, penduduk Tamparuli kini berpeluang beriadah pada waktu malam dan tidak hanya terikat pada waktu siang sahaja.
“Mereka yang lambat balik kerja dan mempunyai masa untuk bersenam, boleh berjoging pada waktu petang hingga malam, begitu juga pada masa pagi sebelum keluar bekerja.
“Cuma untuk sementara waktu, kita masih mencari jalan mengenalpasti pihak yang akan diberikan tanggungjawab untuk memastikan kebersihan rumput terjaga,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kesihatan adalah asas kebahagiaan hidup justeru pemimpin itu berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan semua penduduk Tamparuli.
Beliau turut berterima kasih dengan sukarelawan-sukarelawan yang sudi menjalankan kerja-kerja memotong rumput di kawasan terbabit termasuk Kelab Tamparuli Sabah.
Hadir sama dalam lawatannya, pemimpin dan pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, selain kepimpinan dari Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat dan Bahagian.
Untuk rekod, TJT dibangunkan pada 2017 di kawasan Tapak Tamu Pekan Tamparuli. – Utusan Borneo