Tragedi Sampan Terbalik di Tenom: Mayat Kanak-kanak Ditemui

Mayat-bom-karam-sabah-230921.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dihanyutkan arus deras bersama seorang dewasa di Sungai Padas, Tenom, kelmarin, ditemui mati lemas, di Beaufort, semalam.

Mayat Melvin Junaidi ditemui pasukan penyelamat sukarelawan diketuai ADUN Melalap, Peter Anthony di Kampung Binunok, Beaufort kira-kira jam 4.15 petang semalam, pada jarak kira-kira 33km dari lokasi nahas.

Mangsa kedua, Joseph Sayah, 55, masih belum ditemui. Operasi mencari dan menyelamat akan bersambung, hari ini (Jumaat).

Peter ketika dihubungi berkata, selepas menghadiri sidang DUN, beliau bergegas ke Beaufort bagi menggerakkan misi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa itu, yang hanyut selepas bot dinaiki terbalik di Kampung Kalandos Pangi, di Tenom, petang Rabu.

“Kita telah menggerakkan tiga buah jetski iaitu bagi memudahkan misi pencarian. Akhirnya syukur kepada tuhan dalam tempoh satu jam, kita menemui mangsa pertama iaitu seorang kanak-kanak yang berusia 12 tahun di kawasan sungai cetek di ulu 66 Lama, Kampung Parang Besar di Beaufort, sekitar jam 4.15 petang.

“Saya bersama pasukan berjaya membawa mangsa ke Kampung Binunok yang merupakan pangkalan sementara bagi misi mencari dan menyelamat, dan kita telah serahkan kepada pihak polis serta bomba yang berada di lokasi bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba Sabah ketika dihubungi mengesahkan mangsa pertama iaitu kanak-kanak terbabit telah ditemui oleh orang awam.

“Mayat mangsa dibawa ke Kampung Binunuk untuk proses pengecaman oleh keluarga mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat bersama-sama agensi bantuan polis dan APM (Angkatan Pertahanan Awam) telah ditangguhkan pada jam 4 petang tadi (semalam) dan akan disambung, esok (Jumaat),” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, dua mangsa itu dihanyutkan arus deras apabila sampan dinaiki mereka terbalik di sungai terbabit.

Mereka bersama dua lagi penumpang sampan itu dalam perjalanan pulang dengan menyeberangi Sungai Padas selepas membeli barang keperluan di pekan Tenom.

Bagaimanapun, sampan itu tiba-tiba terbalik akibat arus sungai yang deras ketika menghampiri tebing.

Dua lagi penumpang iaitu seorang warga emas lelaki dan wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu. –FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top