KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Kebangsaan Malaysia (Cawangan Sabah) melahirkan rasa sedih yang mendalam terhadap insiden tragis yang melibatkan pekerja lampu jalan solar yang terkena renjatan elektrik apabila perancah mereka menyentuh talian kuasa 11 kV.
Pengerusinya, David Chan berkata, insiden itu memperlihatkan keperluan mendesak untuk mematuhi protokol keselamatan dengan ketat dalam semua kerja pemasangan elektrik.
“Sabah Electricity (SE) telah menegaskan bahawa semua pemasangan elektrik mesti dilakukan oleh kontraktor yang memiliki sijil sah, seperti ECOS, CIBC, dan lesen NIOSH.
“Peraturan ini bukan pilihan tetapi langkah penting untuk melindungi keselamatan pekerja dan orang awam,” katanya dalam kenyataan.
Chan seterusnya menyeru semua kontraktor PV solar untuk bertanggungjawab memastikan operasi mereka mematuhi keperluan keselamatan.
“Kami mendapati bahawa terdapat kontraktor yang beroperasi tanpa sijil ECOS yang sah atau tanpa kebenaran yang diperlukan daripada SE.
“Amalan ini bukan sahaja membahayakan pekerja tetapi juga merosakkan keyakinan awam terhadap inisiatif tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.
Katanya lagi, untuk mengelakkan tragedi yang serupa, pihaknya mencadangkan agar semua kontraktor PV solar, termasuk yang terlibat dalam pemasangan lampu jalan solar, diwajibkan memiliki lesen ECOS dan NIOSH yang sah.
Langkah ini akan memastikan hanya profesional yang layak dan bertauliah melaksanakan kerja berisiko tinggi seperti ini, seterusnya mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan.
“Keselamatan pekerja dan orang awam mesti sentiasa menjadi keutamaan.
“Kami menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan piawaian keselamatan dan menjalankan audit berkala terhadap kontraktor bagi memastikan pematuhan sepenuhnya,” tambah beliau