Tragedi Double Six, Saya Dan SMK Sanzac

double-6-a.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: MUSLI OLI

Tarikh 6.6.1976 akan saya kenang sampai bila-bila. Saya baru berusia 16 tahun 4 bulan ketika itu. Masih menuntut dalam tingkatan lima di SMK Sanzac, Sembulan, Kota Kinabalu.

Petang itu, lebih kurang sekitar jam 3.30, kami sedang bermain sepak takraw apabila secara tiba-tiba kelihatan sebuah kapal terbang berpusing beberapa kali di atas kepala kami sebelum menjunam jatuh kira-kira 100 meter dari kawasan sekolah.

Suasana agak panik. Bunyi siren kecemasan kedengaran menuju ke kawasan perumahan Kampung Air Sembulan. Kebetulan sekolah Sanzac berhadapan dengan sebuah balai bomba. Kereta bomba juga bergegas ke situ. Saya dan beberapa rakan berlari-lari di belakang kereta bomba menuju ke arah kapal terbang itu menjunam tadi.

Pesawat itu terjatuh tidak jauh dari pantai. Mungkin lebih kurang 10 atau 15 kaki. Dalam air yang kedalamannya hanya paras dada. Kelihatan ekor pesawat di antara dua buah rumah. Saya nampak tiga atau empat anggota penyelamat sedang menarik dan mengeluarkan mayat. Saya sempat melihat satu mayat tanpa kepala.

Suasana ngeri dan menyedihkan. Saya cuba turun membantu, tapi dilarang mendekati bangkai pesawat kerana dikhuatiri akan berlaku letupan.

Pada ketika itu, kami tidak tahu kemalangan yang kami saksikan itu telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah dan 10 orang lagi termasuk empat menteri kabinet!

Selepas peristiwa itu, sehingga hari ini, 36 tahun berlalu, (8 Jun 2012, tarikh catatan ini saya siarkan pertama kali di sekaliketuk.blogspot.com), saya terus dihantui beberapa persoalan yang tidak pernah mendapat jawapan yang jelas daripada sesiapa pun. Berdasarkan laporan, pesawat yang terlibat dalam nahas tidak menghadapi sebarang masalah mekanikal dan cuaca amat baik sewaktu pesawat berlepas dari Pulau Labuan. Cuaca di Kota Kinabalu juga amat baik – saya masih ingat sangat tentang itu sebab kami bermain sepak takraw di bawah cerah matahari petang.

Hari ini, setelah 11 tahun catatan ini disiarkan pertama kali, hati saya sedikit berbunga kerana terdapat tanda-tanda saya, dan kita semua akan mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sebalik nahas itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji laporan tragedi itu akan didedahkan minggu depan. Saya, dan kita telah menanti selama 47 tahun. Tentu tiada masalah untuk menanti seminggu lagi…

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top