PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan persekutuan kepada umum mengenai nahas pesawat 1976 yang mengorbankan 11 orang, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Allahyarham Tun Fuad Stephens.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memahami keresahan ahli keluarga mangsa terbabit dan tuntutan rakyat Sabah selama 47 tahun yang mahu mengetahui tragedi mengakibatkan pemimpin utama negeri itu terkorban.
Katanya, keputusan kerajaan menghebahkan atau dinyahklasifikasi laporan tersebut sebagai tanda keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.
“Selama ini kerajaan belum memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) di bawah seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta 88.
“Hari ini jemaah menteri mengambil kira pandangan dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat keluarga waris yang menginginkan maklumat terperinci.
“Ianya selari dengan dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh demikian kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat tersebut akan diturun taraf,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
Untuk rekod nahas yang juga dikenali sebagai Tragedi Double Six itu mengorbankan kesemua 11 penumpang, termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens; Menteri Kewangan negeri Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin serta Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun.
Turut terkorban ialah pembantu menteri negeri Datuk Darius Binion, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andau, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Dr Syed Hussein Wafa, Isak Atan ( setiausaha sulit kepada menteri kewangan ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah), Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi Fuad), juruterbang Kapten Gandhi Nathan dan anak sulung Fuad Johari Stephens