Tragedi Double Six: Australia Benar Pelepasan Penuh Laporan Negara

double-six.jpg

Tragedi Double Six yang mengorbankan 11 jiwa termasuk Datuk Peter Mojuntin. (Gambar fail).

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Tribunal Rayuan Pentadbiran Australia (AAT) di Sydney memutuskan untuk membenarkan pelepasan penuh laporan negara mengenai nahas pesawat pada 6 Jun 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Allahyarham Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain.

Pesawat buatan Government Aircraft Factories (GAF) Australia itu dinaiki Fuad serta yang lain dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi, namun terhempas di perairan Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Memetik laporan Malay Mail, perkara berkenaan pelepasan laporan itu disahkan peguam, Datuk Alex Decena dan Jordan Kong dari Tetuan Jayasuriya Kah & Co yang dilantik bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Mohd Salleh.

Peguam itu memaklumkan, kerajaan Australia akan menyerahkan laporan terbabit kepada firma berkenaan yang kemudian akan mendedahkan dokumen berkenaan kepada umum.

Bagaimanapun, firma itu tidak dapat mengesahkan bila laporan itu akan diserahkan kepada mereka.

Dalam pada itu, dokumen yang dilihat oleh Malay Mail menunjukkan tribunal Australia yang terdiri anggota kanan G Lazanas, membuat keputusan itu semalam mengikut Seksyen 40 Akta Arkib Australia 1983.

Ini berlaku selepas Harris membuat permohonan pada 12 Mei 2022 kepada Arkib Negara Australia (NAA) untuk mengeluarkan laporan itu, iaitu selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Permohonan kepada NAA difailkan Stephen Blanks dari SBA Lawyers dan Tom Brennan SC dari 13 Wentworth Chambers, atas arahan Tetuan Jayasuriya Kah & Co.

Berikutan pesawat terhempas ialah pesawat Nomad N-22B yang dikeluarkan oleh GAF milik kerajaan Australia, ia memberi kuasa kepadanya untuk melakukan siasatan sendiri mengenai nahas terbabit.

Bagaimanapun pada 1977, Malaysia memutuskan untuk merahsiakan laporan mengenai nahas itu dan meminta Australia juga merahsiakan laporannya.

Australia kemudian bersetuju dengan permintaan Malaysia selaras konvensyen berkaitan penerbangan antarabangsa.

Selama bertahun-tahun, Australia mengeluarkan sebahagian daripada laporannya, tetapi dengan penyuntingan.

Untuk rekod, pada 12 April lalu, kerajaan Malaysia bersetuju mendedahkan laporan yang sebelum ini diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Laporan itu antara lain menyatakan juruterbang pesawat berkenaan mempunyai sejarah prestasi buruk dalam penerbangan, berdasarkan rekod yang diperoleh.

Laporan akhir nahas udara itu yang dinyahklasifikasikan mendedahkan, juruterbang berusia 42 tahun berkenaan mempunyai pengalaman 3,062 jam penerbangan dan rekod latihan serta prestasinya dengan syarikat pengendali penerbangan adalah marginal.

Selain Fuad, insiden lebih dikenali sebagai ‘Tragedi Double Six’ itu mengorbankan Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah) dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).

Turut terkorban Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan).

Selain itu, Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas itu bukan disebabkan masalah mekanikal.-BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top