TPNS Membantu 2,890 Orang Siswa-siswi Sabah Melanjutkan Pengajian

arifin-TPNS.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) diwujudkan untuk membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS berkata usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penyerahan Bantuan TPNS di Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Mohd. Arifin berkata, sejak dilancarkan pada 2 Jun tahun lalu, jumlah sumbangan dana yang diterima TPNS ialah RM55.7 juta.

Daripada jumlah tersebut, TPNS melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah menyalurkan RM3.7 juta dari tabung itu untuk memberikan bantuan pendidikan kepada seramai 2,890 orang siswa-siswi yang sedang menuntut di dalam Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan juga di luar negara.

“Keutamaan pemberian bantuan adalah kepada siswa-siswi yang dalam kalangan keluarga B40 dan M40 yang sangat memerlukan bantuan serta pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kerana bidang-bidang tersebut mempunyai potensi kebolehpasaran yang baik dan amat diperlukan di masa hadapan,” jelas beliau.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Yayasan Sabah melalui Bahagian Pembangunan Pendidikan selaku Urusetia TPNS kerana sentiasa proaktif dalam menjalankan program-program TPNS dan sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan program-program pembangunan pendidikan di Sabah.

Menurut Mohd. Arifin, sepanjang satu tahun pelaksanaan TPNS, seramai 2,890 orang siswa-siswi telah mendapat bantuan tajaan pendidikan.

“Semoga jawatankuasa TPNS akan lebih giat melaksanakan program-program bantuan pendidikan agar lebih ramai anak-anak Sabah dapat dibantu agar mereka dapat melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi untuk tahun hadapan dan seterusnya,” katanya. – BORNEO TODAY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top