TPM Fadillah Sahkan Parti Sokong PM10 Meterai Perjanjian Hari Ini

FadillahYusof-1.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan parti-parti politik yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu hari ini.

Ia mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini.

Beliau berkata, ia akan membabitkan semua ketua parti yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Semua ketua parti sudah berbincang, malah hari ini saya balik ada mesyuarat di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian,” katanya yang juga Ketua Whip GPS, semalam.

Terdahulu, Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan memaklumkan parti-parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan dijangka memeterai perjanjian pada Jumaat dalam usaha mengukuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

Shafie berkata beliau akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan WARISAN kepada Anwar selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya.

“Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu.

“Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan selepas menerima Kunjungan Hormat Wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Timbalan Ketua Mission Michael Newbill di kediamannya, di Kota Kinabalu kelmarin.

Mengulas lanjut, Fadillah bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai intipati perjanjian itu.

Beliau berkata, isu membabitkan janji dalam manifesto juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam kerana ia tidak boleh mengikut parti-parti tertentu berikutan pentadbiran ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan.

Namun demikian, katanya, fokus Kerajaan ketika ini adalah membabitkan kos sara hidup.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top