TPM Dari Sabah Jika BN Tawan Putrajaya

zahid.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Sabah bakal mempunyai timbalan perdana menteri pertama sekiranya Barisan Nasional (BN) menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata selain Sabah, BN juga mencadangkan timbalan perdana menteri turut dilantik dari Sarawak dan Semenanjung agar jawatan kanan itu diisi oleh tiga wakil dari setiap wilayah.

Katanya, kewujudan tiga jawatan timbalan perdana menteri itu bagi memastikan rakyat di setiap kawasan dapat dibela sebaiknya.

“Oleh kerana rakyat pada hari ini tiada TPM, hanya ada menteri kanan… saya ingin mencadangkan kepada (pengerusi perhubungan Umno Sabah) Datuk Seri  Bung Moktar (Radin) mohon kepada perdana menteri untuk meletakkan dalam manifesto jawatan TPM dari rakyat Sabah, ada jawatan TPM dari Sarawak, ada jawatan dari Semenanjung.

“Tidak salah kalau ada jawatan tiga TPM..tidak salah. Dalam perlembagaan tidak ada disebut jawatan TPM, tengoklah mungkin ada TPM dari Sabah,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Gelombang Biru Barisan Nasional Zon 3 di Kimanis, Sabah.

Jawatan TPM dimansuhkan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Jemaah Menterinya pada 10 Mac 2020 selepas menumbangkan Pakatan Harapan menerusi Langkah Sheraton. Muhyiddin kemudian melantik lima menteri kanan yang mewakili setiap parti yang menyokong kerajaan campuran ketika itu.

Mengulas lanjut, Zahid berkata sekiranya BN menawan Putrajaya dengan jumlah kerusi dominan, perdana menteri dari gabungan itu akan melantik seorang menteri dari Sabah untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya yakin ada menteri dari Sabah jika kita menang di kawasan Parlimen di Sabah. saya yakin PM akan lantik menteri dari Sabah untuk mengemudi dan melaksanakan MA63,” katanya.

Zahid yang juga presiden Umno berkata beliau yakin persefahaman antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN yang membentuk kerajaan negeri Sabah ketika ini dapat diterjemahkan pada hari penamaan calon 5 Nov nanti.

Akuinya, walaupun terdapat kesukaran di peringkat awal untuk berunding mengenai pembahagian kerusi antara GRS-BN, ia dapat diselesaikan dengan penuh komitmen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon dua gabungan berkenaann.

“Rundingan demi rundingan telah berlangsung, kesukaran di peringkat awal memang ada berlaku tetapi saya yakin pada 5 Nov nanti apabila hari pencalonan nanti, jalinan erat kedua-dua gabungan akan memberikan keberhasilan yang cukup menguntungkan rakyat Sabah.

“GRS jangan sabotaj calon BN, BN jangan sabotaj calon GRS. Kita bekerja sebagai adik beradik untuk mengekalkan kerajaan ini di Sabah,” katanya.-FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top