Tongod, Satu-satunya Zon Hijau Di Sabah

tongod_1603690379.jpg
Kongsi Bersama

TONGOD: Tahap kesedaran yang tinggi mengenai Covid-19 di kalangan masyarakat di sini mungkin merupakan faktor utama yang membolehkan Tongod kekal sebagai satu-satunya daerah zon Hijau di Sabah.

Pegawai daerahnya William Ahlan dilaporkan oleh New Straits Times semalam sebagai berkata Tongod terletak berdekatan Sandakan, yang merupakan zon Merah, dengan kegiatan ekonomi dan perjalanan masuk untuk perkhidmatan penting beroperasi seperti biasa.

Katanya, walaupun tidak ada jaminan bahawa Tongod, tempat tinggal sekitar 50,000 orang ini akan terus mencatat kes Covid-19 sifar, namun beliau yakin dengan kesedaran penduduk masalah penularan pandemik itu dapat dibendung.

“Selain pihak berkuasa kesihatan yang datang untuk melakukan pemeriksaan terhadap mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit atau staf yang bekerja di meja depan (kawasan penerimaan), ada juga yang datang secara sukarela dan bersedia membayar untuk pemeriksaan,” katanya.

Penduduk juga, katanya, telah mengurangkan pergerakan mereka kerana menyedari situasi penularan Covid-19.

Menurutnya, walaupun ada sekatan jalan yang membolehkan mereka yang mempunyai izin memasuki Tongod, perhatian khusus juga diberikan untuk kawasan Telupid, kira-kira 50 kilometer dari sini, di mana penduduk dari kawasan lain tertumpu untuk urusan perbankan dan perkhidmatan rasmi lain.

Bulan lalu, lima orang didapati positif Covid-19 di Tongod dan telah menerima rawatan di Sandakan.

Kontak mereka juga dikuarantin di sana.

William menambah bahawa daerah ini juga telah mulai mengkuarantin kakitangan kesihatan yang kembali dari Semporna semalam (Ahad) selama dua minggu.

“Ketika jumlah kes di Sandakan meningkat, Tongod juga bersiap siaga dalam hal penyediaan dua pusat kuarantin sekiranya ada jangkitan baru di sini.

“Pejabat daerah juga telah meminta bantuan bakul makanan dari kerajaan negeri untuk kelompok sasaran jika sekiranya kampung-kampung diisytiharkan kawasan ‘lockdown’ atau penduduk-penduduk di kuaranti,” katanya, sambil menambah bahawa pejabat daerah juga berusaha mendapatkan bantuan bagi mereka yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar yang tinggal kira-kira 200 kilometer dari bandar.

Sehingga kelmarin, Sabah mempunyai 6,525 kes aktif yang menerima rawatan dengan 98 kematian.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top