Tongod berpotensi jadi jelapang padi bukit

masiung-1.jpg

Datuk Masiung Banah (gambar fail)

Kongsi Bersama

TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata kawasan Tongod berpotensi dijadikan jelapang padi bukit di Sabah jika kerajaan bersetuju membangunkan industri makanan berasaskan padi di daerah ini.

Katanya, agensi berkaitan dan pemilik tanah terbiar di sini sedia berkolaborasi bersama kerajaan negeri untuk tujuan pertanian.

“Berdasarkan keluasan tanah di daerah Tongod jika diusahakan dengan bantuan kerajaan ia mampu menjadi pengeluar makanan di negeri ini menerusi penanaman padi bukit.

“Selain padi bukit kawasan Tongod juga berpotensi luas untuk projek ternakan ikan air tawar berdasarkan sumber air sungai, ” katanya di sini semalam.

Masiung berkata, beliau menyambut baik saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, supaya pelan tindakan membasmi kemiskinan tegar lebih terarah kepada pertanian dan perikanan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, pada masa ini tanaman padi bukit yang diusahakan penduduk secara tradisi di daerah ini turut menyumbang kepada sumber ekonomi mereka.

“Cuma perlu ada penambahbaikan jika wujud koloborasi antara MAFFI dan pengusaha sedia ada.

“Kita tawarkan kepada MAFFI mewujudkan tanaman padi bukit secara bersepadu di Tongod bagi menampung pengeluaran padi yang merosot sejak kebelakangan ini,” katanya.

Masiung mempelawa MAFFI atau Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) melaksanakan Inisitif berpanjangan untuk tanaman padi di daerah ini untuk permintaan dalam negeri.

“Inisiatif penanaman padi bukit di Sarawak perlu dicontohi kerana pasaran mereka sudah mampu menembusi Sabah, Brunei dan Semenanjung Malaysia.

“Jika penanaman padi dilaksanakan secara meluas kadar kemiskinan penduduk di daerah ini (Tongod) boleh diatasi,” tambahnya.

Menurut Masiung, Tongod salah satu dari 10 daerah yang disenaraikan termiskin di negara ini dan keadaan itu bakal berubah jika kerajaan negeri bersedia mewujudkan projek tanaman padi bukit.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top