Tolak Sebarang Bentuk Perpecahan Demi Kemakmuran Sabah – KM

joniston-1.jpg

Kredit foto: FB Joniston Bangkuai

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru rakyat Sabah bersatu demi matlamat bersama membangunkan negeri ini.

Beliau berkata dengan sokongan daripada rakyat itu, kerajaan Sabah berada di landasan yang betul dalam kemajuan pembangunannya di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hasil RM7 bilion yang dikutip oleh negeri tahun lepas, yang melepasi sasaran awal RM6 bilion, adalah salah satu bukti kejayaan, katanya.

“Kerajaan negeri tidak akan berpuas hati tetapi akan terus membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini yang boleh mewujudkan lebih banyak spin-off ekonomi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa semua rancangan ini hanya akan berjaya jika wujud persekitaran kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan.

“Untuk itu adalah penting kita mempunyai kestabilan politik,” kata Hajiji pada majlis pelancaran rasmi Larian Obor Tuaran sempena Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-38 di Kuil Ling San di sini, pada Sabtu.

“Kita mesti mengenepikan sebarang bentuk perpecahan yang hanya akan memisahkan kita semua.

“Justeru, marilah kita berganding bahu merealisasikan empat tonggak pertumbuhan untuk menyokong agenda pembangunan ‘Sabah Diutamakan’, ‘Sabah Melangkah ke Hadapan’, ‘Sabah Maju Jaya’ dan ‘Sabah Bersatu’. Kita boleh melakukannya,” tegas beliau.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai, yang juga ADUN Kiulu.

Dalam ucapan itu, Hajiji turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan masyarakat Cina dan untuk berdiri teguh bersama kerajaan negeri sebagai rakan kongsi dalam kemajuan dalam setiap bidang pembangunan.

Katanya, kerajaan Sabah sentiasa menjaga kepentingan semua masyarakat termasuk masyarakat Cina di negeri ini.

“Kerajaan negeri menyokong banyak program dianjurkan persatuan Cina khususnya dalam sektor kebudayaan, perniagaan, kebajikan dan pendidikan melalui sokongan kewangan serta persahabatan.

Mengenai Larian Obor, Hajiji berkata, ia penting kerana acara itu menghimpunkan masyarakat Cina untuk mempromosikan budaya dan warisan yang kaya kepada rakyat.

“Api dari obor ini akan melahirkan perasaan baik dan menyatupadukan rakyat dari semua bangsa serta latar belakang untuk tujuan positif, sekali gus menyebarkan kesedaran kebudayaan.

“Rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan kepercayaan sudah lama hidup dalam keharmonian, hormat perbezaan yang ada dan pada masa sama memelihara identiti kebudayaan masing-masing.

“Inilah intipati perpaduan dalam kepelbagaian yang kita semua banggakan dan bertuah untuk menikmatinya,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top